Monday, 10 December 2012

ISN corak karier baru


BOLA sepak atau hoki? Gimnastik atau terjun? Bunyinya mungkin agak pelik tapi itulah realiti yang berlaku dalam dunia sukan. Peralihan atlet dari satu sukan ke sukan lain, jika dilihat daripada satu aspek mungkin boleh menyelamatkan karier mereka. Di luar negara, ia bukan sesuatu yang asing.
Terkini, atlet kriket, Andrew Flintoff mengumumkan persaraannya sebelum memulakan karier sebagai peninju.

Jika anda masih ingat, atlet 100 meter negara, Siti Fatimah Mohamad juga pernah menjadi tumpuan media apabila meluahkan hasrat untuk menyertai acara berbasikal tapi akhirnya menarik diri atas sebab tertentu.
Justeru program ‘Ride with Pride’ yang dianjurkan Institut Sukan Negara (ISN) selama tiga hari berakhir hari ini, menjadi platform terbaik buat atlet mencuba sesuatu yang mungkin boleh membantu mereka mencorakkan karier selepas ini.

Seramai 22 atlet dari sukan olahraga, angkat berat, ragbi, gimnastik termasuk atlet berbasikal menjadi kelompok terawal mencuba nasib untuk merebut dua tempat menjalani latihan di Melbourne manakala 16 lagi akan menjalani latihan pusat.

Kehadiran jurulatih basikal kebangsaan, John Beasley yang bertanggungjawab menaikkan nama Azizulhasni Awang, Rizal Tisin, Josiah Ng mahupun Fatehah Mustapa ke Dewan Perdana ISN, Jumaat lalu, sedikit sebanyak menyuntik semangat buat kumpulan atlet mengharungi program itu, meskipun jawapannya hanya akan diketahui akhir bulan depan.

Pengarah Bahagian Pengenalpastian Bakat ISN, Wan Norafzan Wan Mahadi berkata, program peralihan bakat itu membabitkan atlet yang menceburi bidang sukan dan mempunyai kemahiran motor tapi tidak mampu pergi jauh dalam sukan yang diceburi disebabkan faktor tertentu seperti saiz tubuh mereka.

“Program ini bukan saja untuk sukan berbasikal tetapi juga untuk sukan lain dan ia sudah terbukti secara saintifik di luar negara. Di Malaysia, peralihan atlet seperti dari bola sepak ke hoki, olahraga ke lawan pedang juga sudah terbukti berjaya cuma tidak pernah didedahkan kepada media,” katanya.
“Sebagai contoh, bekas atlet gimrama Kuala Lumpur, Wendy Ng enggan meneruskan karier dalam sukan itu dan beralih ke sukan terjun dan ternyata menjadi.” Begitupun menurut beliau, kesesuaian untuk peralihan bakat juga tertakluk kepada kategori sukan yang boleh diletakkan dalam kumpulan yang sama.

“Wushu, gimnastik dan terjun mungkin boleh kerana memiliki keupayaan motor yang sama, jika sukan bertentangan seperti dari ragbi ke terjun memang mustahil. Kita perlu melihat struktur badan seseorang atlet sebelum membuat peralihan,” katanya.beri peluang kepada lebih ramai atlet.



Oleh NOR HAIRULNIZAM WAHID
hairulnizam@hmetro.com.my

No comments: