Monday, 10 December 2012

Beasley mahu atlet wanita sahut cabaran


KETUA jurulatih berbasikal negara, John Beasley mahu lebih banyak atlet wanita dapat menyertai sukan itu dalam persiapan skuad kebangsaan mempersiapkan satu skuad berbasikal mantap menjelang Sukan Olimpik Rio 2016 dalam program ‘Ride With Pride’.

Dalam program pertukaran bakat yang masih lagi terbuka buat atlet berminat biarpun secara rasminya ia tamat semalam, turut menyaksikan satu-satunya atlet wanita negara, Tan Song Hwa dari sukan olahraga mencuba.


Mengulas mengenai kemampuan pemenang pingat emas dalam acara lempar tukul besi itu pada temasya Sukan Sea Indonesia lalu, Beasley berkata, Song Hwa melakarkan keputusan cemerlang sepanjang program itu berlangsung dan akan melihat daripada semua aspek sebelum membuat keputusan. Biarpun sedikit kecewa apabila ada segelintir persatuan sukan dan jurulatih tidak membenarkan atlet masing-masing untuk mencuba nasib dengan beralih ke sukan berbasikal, Beasley berkata, Song Hwa seorang atlet terbaik olahraga dan sekiranya layak untuk beralih ke acara berbasikal, dia perlu melalui beberapa proses agar tidak timbul masalah nanti.
Katanya, selepas tiga hari berlangsungnya program yang mendapat kerjasama Institut Sukan Negara (ISN), Beasley mengenal pasti beberapa atlet mempunyai bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya bukan berniat untuk mencuri atlet tapi ini memberikan ruang kepada atlet yang mungkin tidak boleh mengorak langkah lebih jauh dalam sukan mereka sebelum ini kerana kecederaan untuk mencuba nasib dalam sukan baru.


“Saya yakin, jika atlet ini diberi peluang, mereka boleh pergi lebih jauh lagi, jadi mengapa harus disekat keinginan masing-masing.
“Program ini masih terbuka kepada semua atlet yang berminat dan mereka hanya perlu datang ke ISN menjalani ujian yang ditetapkan sekiranya melepasi halangan itu, mereka berpeluang cerah untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.

“Sepanjang program berlangsung, saya melihat ada beberapa atlet berbakat. Tapi masih terlalu awal untuk mengulas mengenai keupayaan mereka kerana masih lagi baru dalam sukan ini dan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang atlet berkelas dunia,” katanya.
Sementara itu, Beasley turut mengulas bahawa pelumba harapan negara, Azizulhasni Awang akan pulang ke pangkalan latihan di Melbourne dalam waktu terdekat ini bersama-sama Rizal Tisin apabila urusan pelepasan kerjanya selesai.

Katanya, beliau gembira dua pelumba itu akan bersama skuad negara dalam usaha memantapkan barisan negara menjelang saingan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Mac depan.


Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

No comments: