Tuesday, 9 October 2012

ISN Anjur Bengkel Nilai Prestasi Dalam Penyediaan Khidmat Kesukanan

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peranan, kaedah dan fungsi yang dimainkan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menyediakan khidmat sokongan sains dan perubatan sukan akan dibincangkan dalam bengkel dua hari di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, bermula Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Shapawi Ismail berkata bengkel bertajuk 'Post Performance Road to London 2012' itu akan mengkaji prestasi badan tersebut dalam menyediakan perkhidmatan sepanjang persediaan ke Sukan Olimpik London 2012 dan rumusan bengkel berkenaan akan digunakan sebagai asas penyediaan program 'Road to Rio 2016.

"Bengkel itu, yang berkonsep terbuka, membuka ruang kepada semua peserta mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan kekangan yang ada, bagi memastikan program yang dirangka sesuai dengan dimensi baru sukan negara yang jauh berbeza daripada sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata bengkel yang julung kali diadakan itu bakal dihadiri 100 peserta terdiri daripada pakar sains dan perubatan negara, jurulatih, persatuan sukan kebangsaan, wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pegawai Majlis Sukan Negara serta media.

-- BERNAMA

No comments: