Tuesday, 18 September 2012

Harapan program Rio 2016, Bajet 2013 menanti peminat sukan tanah air

APABILA kerajaan mengumumkan peruntukan khas untuk membangunkan 'Road to Rio 2016' ia merupakan satu petanda seribu satu kebaikan.

Kalau program 'Road to London 2012' sebelum ini tidak secara khusus tetapi telah pun menampakkan hasilnya walaupun bukan kilauan pingat emas, maka empat tahun lagi tentulah harapannya menggunung.

Sukan-sukan berpotensi seperti berbasikal trek, terjun serta memanah wajar diberikan perhatian yang lebih pada kali ini dengan menjurus kepada memperbaiki kelemahan ketara atlet.
Mental lemah, tidak garang, gementar, berat badan kurang serta badan lembek adalah antara alasan atlet yang perlu diberikan perhatian.

Penulis tertarik dengan sebuah rencana filem tentang persiapan pasukan Great Britain untuk menyediakan atlet-atlet negara itu dalam serba-serbi lengkap termasuk kekuatan mental.

Kisahnya ada disiarkan dalam televisyen tempatan. Antara yang menarik bagaimana seorang pakar psikologi ditugaskan untuk menyelami perasaan pemenang pingat emas Oimpik, Chris Hoy - mengetahui masalahnya dan mengatasinya demi memastikan atlet itu benar-benar telah bersedia untuk bertarung.

Bajet mereka besar tetapi pulangan skuad berbasikal trek team GB sangat berbaloi.
Penulis dapat merasakan persiapan untuk ke Rio de Janeiro 2016 kali ini lebih kemas dengan mengambil pengalaman di London sebagai asas.

Peranan Institut Sukan Negara (ISN) di bawah kepimpinan baru ketua pegawai eksekutifnya, Ahmad Shapawi ditagih, walaupun beliau diberi tempoh setahun dalam merangka tindakan.
Dalam perkembangan yang sama, sukan lain seperti hoki kalau dilihat perkembangannya masih memiliki potensi untuk layak ke Brazil.

Memiliki jurulatih baru sudah tentu menyuntik harapan dan semangat baru di kalangan pemain.
Dalam ruangan ini juga yang menarik perhatian penulis ialah cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek agar kerajaan mempertimbangkan pengurangan cukai untuk beberapa peralatan dan perkhidmatan berkaitan sukan dalam pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September ini.

Cadangan ini perlu dipertimbangkan kerana komitmen ibubapa membenarkan anak mereka bergiat dalam sukan terutamanya di luar waktu persekolahan banyak berkait rapat dengan kos sara hidup.
Sebagai contoh, kos menghantar anak belajar berenang di bawah jurulatih bertauliah menelan belanja dari RM240 hingga RM500 ikut pakej jam belajar.

Bagi yang tidak berkemampuan atau kelas sederhana tentunya, kos seperti itu 'mahal' apatah lagi ia baru melibatkan kelas asas.

Latihan sukan di luar seperti sukan renang, bola sepak, golf atau sukan tempur tidak ada di sekolah-sekolah, melainkan untuk sesetengahnya ia diadakan dalam pendidikan jasmani.
Bayangkan apa alasan yang harus diberikan oleh ibubapa kepada anak-anak jika tidak mampu untuk memenuhi minat mereka dalam bersukan.

Justeru, penulis berpendapat cadangan rebat cukai pendapatan daripada kos yang ditanggung ibubapa perlu dipertimbangkan dalam bajet 2013.

Pendek kata, sejajar hasrat merealisasikan 'Sukan Sebagai Satu Industri' maka kewajaran rebat cukai pendapatan ini bukan sahaja wajar dinikmati oleh pihak yang menyediakan perkhidmatan tetapi juga masyarakat pengguna.

Malaysia Boleh!





- UTUSAN

No comments: