Monday, 12 December 2011

ISN enggan campur tangan - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Institut Sukan Negara (ISN) meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memahami tugas badan itu dengan tidak campur tangan atau mengambil alih tugas Majlis Sukan Negara (MSN) dalam program pembangunan dan pengurusan atlet olahraga.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Ramlan Aziz berkata, pihaknya tidak mahu melihat adanya pertindihan dan percanggahan dari dua pihak yang boleh mengeruhkan keadaan suasana baik ISN dan MSN.
"Sepatutnya KOM faham apa itu peranan ISN dalam pembangunan sukan dan atlet. ISN hanya menjaga atlet pembangunan kepada atlet pelapis.

"Kita tidak mahu menjadi mangsa keadaan antara KOAM dengan MSN. Saya tidak akan benarkan ini berlaku sebab sebelum ini hubungan kerjasama antara ISN-MSN baik dan tidak pernah tergugat," katanya semalam.

Akhbar tempatan melaporkan bahawa Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim sudah tidak mahu berurusan dengan MSN berhubung program serta pembangunan atlet olahraga negara, sebaliknya memilih ISN sebagai pihak yang bertanggungjawab ke arah itu.

Namun, presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mempengerusikan mesyuarat Exco KOM di Kangar, kelmarin mengeluarkan arahan supaya semua kenyataan atau pengumuman daripada KOM hanya akan dilakukan oleh beliau sendiri.

Sehubungan itu, Dr. Ramlan berharap semua pihak jelas dengan keputusan itu kerana tidak mahu masalah berkenaan menjadi salah faham dan akan dimanipulasikan oleh mana-mana pihak untuk tujuan peribadi mahupun populariti.

"KOM perlu faham bahawa ISN sebagai badan kerajaan yang bergerak mengikut akta-akta yang ditetapkan dalam akta pembangunan sukan negara," katanya.
Bagaimanapun Dr. Ramlan berkata, jika KOM memerlukan bantuan program pembangunan atlet daripada ISN, pihaknya sedia memberi bantuan tetapi tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak di luar daripada akta.

"Kalau mahu dalam program pencarian atlet, KOM dan ISN dengan kerjasama Kementerian Pelajaran (KPM) boleh diatur untuk kenalpasti bakat-bakat muda di seluruh negara," katanya. - Bernama

No comments: