Monday, 12 December 2011

Usah cemar fungsi ISN - myMetro

SERIUS...Ramlan (kiri) mahu Karim (tengah) fahami tugas sebenar ISN.
SERIUS...Ramlan (kiri) mahu Karim (tengah) fahami tugas sebenar ISN. 

INSTITUT Sukan Negara (ISN) meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memahami tugas badan itu dengan tidak campur tangan atau mengambil alih tugas Majlis Sukan Negara (MSN) dalam program pembangunan dan pengurusan atlet olahraga.
Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Aziz berkata pihaknya tidak mahu melihat adanya pertindihan dan percanggahan dari dua pihak yang boleh mengeruhkan keadaan suasana baik ISN dan MSN.

“Sepatutnya KOM faham apa itu peranan ISN dalam pembangunan sukan dan atlet. ISN hanya menjaga atlet pembangunan kepada atlet pelapis.
“Kita tidak mahu menjadi mangsa keadaan di antara KOM dan MSN. Saya tidak akan benarkan ini berlaku sebab sebelum ini hubungan kerjasama antara ISN-MSN baik dan tidak pernah tergugat,” katanya.

Akhbar tempatan melaporkan Timbalan Presiden KOM, Karim Ibrahim sudah tidak mahu lagi berurusan dengan MSN berhubung program serta pembangunan atlet-atlet olahraga negara, sebaliknya memilih ISN sebagai pihak yang bertanggungjawab ke arah itu.

Namun, presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mempengerusikan mesyuarat Exco KOM di Kangar, mengeluarkan arahan supaya semua kenyataan atau pengumuman daripada KOM hanya akan dilakukan oleh beliau sendiri.

Sehubungan itu, Dr Ramlan berharap semua pihak jelas dengan keputusan itu kerana tidak mahu masalah berkenaan menjadi salah faham dan akan dimanipulasikan oleh mana-mana pihak untuk tujuan peribadi mahupun populariti.

“KOM perlu faham bahawa ISN sebagai badan kerajaan yang bergerak mengikut akta-akta yang ditetapkan dalam akta pembangunan sukan negara,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Ramlan berkata jika KOM perlukan bantuan program pembangunan atlet daripada ISN, pihaknya sedia memberi bantuan tetapi tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak di luar daripada akta.

“Kalau mahu dalam program pencarian atlet, KOM dan ISN dengan kerjasama Kementerian Pelajaran (KPM) boleh diatur untuk kenalpasti bakat-bakat muda di seluruh negara,” katanya.


HARIAN METRO


No comments: