Monday, 19 December 2011

BAM bimbang prestasi pemain No.1 negara - KOSMO

GAYA permainan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bukan lagi menjadi ancaman kepada pemain China.

Dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini, pemain perseorangan No. 1 dunia itu sering 'diperbudakkan' oleh musuh tradisinya dari negara Tembok Besar itu.

Bukan setakat Lin Dan yang berjaya meleburkan aksi cemerlang Chong Wei, malah pemain muda China pun nampaknya mampu menggulingkan reputasi pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Pemain China dikatakan sudah bijak membaca gaya permainan Chong Wei dan kelemahan yang ada pada pemain utama negara itu dipergunakan oleh pemain lawan untuk menewaskannya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah menyedari hakikat tersebut dan tanpa berlengah lagi, badan induk sukan badminton negara mengambil langkah drastik untuk memulihkan 'semangat' Chong Wei.

Sebagai langkah awal, BAM akan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk merangka satu program khas buat Chong Wei dan pemain lainnya yang lebih mengutamakan kepada aspek kekuatan mental dan teknikal.

Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh (gambar) berkata, ia merupakan satu langkah baharu bagi membantu Chong Wei mengubah strategi permainan agar ia sukar dibaca oleh pihak lawan.

"Kali ini kami dan ISN akan membantu Chong Wei dari segi teknikal iaitu cuba mempertingkatkan gaya permainan Chong Wei agar dia mampu memberi saingan kepada pencabar-pencabar utamanya.

"ISN mempunyai kelengkapan yang baik dari segi saintifik untuk melihat permainan Chong Wei sekali gus menganalisis gaya permainannya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco BAM di Bukit Kiara, semalam.

Tambah Nadzmi lagi, dengan adanya bantuan ISN dalam program latihan Chong Wei, kami yakin beliau mampu melakar kejayaan di Sukan Olimpik nanti.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai pula berkata, kami telah berbincang dengan pihak ISN sebelum ini dan telah merancang untuk melakukan satu program latihan kepada Chong Wei.

"Ia merupakan satu latihan intensif yang lebih mengutamakan aspek teknikal tetapi kami juga mahu meningkatkan tahap fizikalnya," katanya.

Semalam, Chong Wei dihampakan pemain muda China, Chen Long pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Dunia Akhir di Luizhou, China.

Chong Wei tewas dalam permainan tiga set 16-21, 21-16, 18-21.

Menurut Chin Chai, cara permainan Chong Wei seperti sudah dibaca oleh pihak lawan terutamanya dari China kerana kita boleh lihat Lin Dan dan Cheng Long menggunakan gaya agak sama ketika menewaskan pemain No. 1 negara ini.

Chin Chai berkata, setiap kali ketika perlawanan membabitkan Chong Wei, hampir enam kamera telah digunakan untuk merakam pergerakan Chong Wei untuk melihat strategi permainannya.

"Kita sudah tahu puncanya dan kita sedang berusaha untuk mencari penyelesaiannya. Saya berharap dengan bantuan ISN kali ini, kita mampu menentang mereka semula.

"Sebenarnya, Chong Wei sudah berada di tahap yang sangat tinggi tetapi kita perlu berusaha sedikit sahaja lagi untuk membantunya," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai persediaan BAM untuk menghadapi Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung pada Februari 2012 di Macau, Presiden BAM menjelaskan bahawa pemain-pemain yang akan terpilih akan disenaraikan pada akhir Januari.

"Kami akan menghantar pasukan yang terbaik berdasarkan prestasi mereka sehingga Januari tahun depan, kita tiada masa lagi untuk melakukan percubaan atau pendedahan kepada mereka," kata Nadzmi.
Beliau turut mengumumkan bahawa BAM telah berjaya memenangi bidaan untuk menganjurkan Piala Sudirman 2013.



KOSMO

No comments: