Tuesday, 17 November 2009

Sasaran Kata: Mana komitmen semua pihak



Oleh Norbakti Alias

Ramlan, MSN, MOM perlu bersatu hati julang nama negara di Sukan Sea

HANYA 23 hari lagi sebelum Sukan Sea XXV akan bermula di Vientiane, Laos, namun segalanya nampak begitu sepi dan dingin.

Demam temasya sukan dwitahunan itu seperti belum melanda di kala semua pihak kelihatan ‘kurang berminat’ atau ‘sengaja tak minat’ dengan temasya sukan yang bakal kali pertama dianjurkan di Laos yang bermula dari 9 hingga 18 Disember ini.

Sebab itu penulis tidak hairan apabila chef-de-mission negara ke Laos kali ini, Datuk Dr Ramlan Aziz yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, terasa bahangnya apabila berasa seperti tersisih dalam menjalankan tugasnya.

Apabila chef-de-mission bersuara untuk menuntut kerjasama penuh daripada pihak pengurusan, khasnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), ia seperti ada yang tidak kena.

Difahamkan usaha melantik timbalan chef-de-mission kontinjen negara daripada kalangan pengarah di MSN tidak berjaya apabila ada yang memilih untuk menguruskan sekretariat sendiri di luar perkampungan sukan sewaktu temasya itu nanti ataupun kerana ada tugasan lain

Memanglah sekilas pandang, agak aneh juga rasanya. Kerana bukankah Ramlan adalah bekas Ketua Pengarah MSN dan sepatutnya dia tidak akan berdepan masalah selepas pernah memimpin organisasi penting itu.

Cuma kita faham, hubungan antara ISN dan MSN tidak seakrab yang diharapkan dan masing-masing mempunyai tanggungjawab sendiri. Tetapi ketika nama negara menjadi pertaruhan, wajar ada titik persamaan yang mampu digunakan untuk kepentingan bersama.

Jangan jadikan perkara lalu sebagai halangan. Kalau sebelum ini pernah bermasam muka, takkanlah itu masih jadi alasan untuk tidak bekerjasama. Mungkin ISN pernah cuba ‘mengambil alih’ semua tanggungjawab MSN ketika merangka misi dan visinya sebelum ini, tetapi masalah itu sudahpun selesai.

Biarpun ketika ini ada yang menegaskan Sukan Sea kali ini lebih merupakan medan pendedahan buat atlit muda, apa lagi dengan kontinjen negara sudah hilang pingat dalam beberapa acara yang tidak dipertandingkan di Laos, itu tidak bermakna semua pihak sudah boleh goyang kaki dan mengambil jalan mudah dengan mengurangkan usaha mereka.

Apapun alasannya, peminat sukan mahu melihat aksi bermaya daripada atlit negara, bukannya sekadar pergi ke Laos untuk bercuti di negara orang. Jika pencapaian atlit diharapkan nanti tidak menjadi, pastinya jari akan dituding ke semua tempat, termasuk kepada MSN, MOM dan chef-de-mission sendiri.

Demi untuk memberi contoh yang lebih baik kepada atlit, pengurusan kontinjen wajar memperlihatkan komitmen dan kesungguhan mereka agar tidak dilihat seperti mengajar ketam berjalan lurus.

Usaha bersepadu wajar dilakukan agar kehadiran kontinjen negara di Laos tetap mampu memberikan impak, bukannya kalah sebelum berjuang dengan alasan sudah hilang banyak pingat akibat pengguguran beberapa acara daripada temasya itu.

Lagipun, hanya itu sahaja cara terbaik supaya Ramlan, selaku pemimpin utama kontinjen, dan MSN yang membiayai program latihan atlit, dapat sama-sama memantau setiap pelaburan dan usaha yang sudah dilakukan selama ini.

Sukan Sea mungkin bukan keutamaan mereka, tetapi Sukan Sea jugalah yang dijadikan alasan oleh beberapa persatuan sukan ‘sebagai sasaran sebenar’ apabila atlit mereka kalah di kejohanan lebih tinggi. Tanyalah olahraga dan sepak takraw, mereka pastinya bersetuju.

Jadi, Ramlan, MSN dan MOM perlu bersama-sama dan bersatu hati untuk menangani gejala sebegini.

Tak guna MOM meluluskan begitu ramai atlit dengan peruntukan kewangan tinggi untuk menghantar mereka ke Vientiane, tetapi kemudiannya bersenang lenang tanpa ada usaha untuk menghasilkan pencapaian membanggakan.

Tak guna juga MSN merancang ‘bagai nak rak’ untuk Sukan Asia di Guangzhou ataupun Sukan Komanwel di New Delhi jika atlit yang diasuh, gagal di Vientiene. Tak sakit hatikah jika alasan kegagalan mereka ‘ini hanya gelanggang latihan.’ Macam mana nak mendaki gunung kalau di peringkat bukit, sudah tersungkur?

Buat Ramlan, mungkin juga reaksi dingin sebelum ini ada elemen yang berpunca daripada diri sendiri. Tepuk dada, tanyalah selera.

No comments: