Tuesday, 17 November 2009

Tragedi buat olahraga Asia: Kok Chi

MENYEDIHKAN! Itulah rumusan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi mengenai bukan saja prestasi atlit negara tetapi juga keseluruhan standard olahraga rantau ini di Kejohanan Asia (ATF) di Guangzhou, minggu lalu.

Kok Chi berkata, bukan hanya Malaysia mempamerkan aksi yang menyedihkan tetapi secara keseluruhannya olahraga Asia juga merosot dengan catatan yang begitu hambar dan memalukan, terutama sekali jika dibandingkan dengan tahap atlit antarabangsa ketika ini.

“Sungguh menyedihkan,” kata Kok Chi. “Masa dan catatan yang dilakukan begitu buruk yang sekadar menyerlahkan betapa olahraga rantau ini tidak meningkat dengan mendadak seiring dengan prestasi olahraga dunia.

“Bukan Malaysia saja yang merosot tetapi negara lain juga mengalami nasib yang sama dan saya rasa kejohanan ATF adalah sesuatu yang agak memalukan jika kita lihat kepada statistik.

“Bagi atlit negara pula, tidak ada banyak perubahan dan ada di antara mereka masih bergelut manakala yang senior pula tidak dapat menampilkan tahap terbaik mereka di Guangzhou. Ia sesuatu yang harus diberi perhatian dan ditangani segera oleh persatuan,” katanya.

Malaysia hanya membawa pulang sebutir pingat perak melalui pelari 400 meter berpagar wanita, Noraseela Khalid daripada 22 atlit yang dihantar Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk beraksi di Stadium Olimpik Guangzhou.
Ia satu kemerosotan jika dibandingkan dengan dua emas yang dimenangi di Amman, Jordan, dua tahun lalu menerusi Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Roslinda Samsu (lompat bergalah), yang turut tampil mengecewakan di Guangzhou.

“Negara Asia Tenggara lain juga mengalami kemerosotan, tidak banyak perubahan dan tampak mendatar saja prestasi atlit masing-masing kebelakangan ini,” kata Kok Chi.- BHARIAN

No comments: