Tuesday, 17 November 2009

Nadzmi tolak pelantikan chef-de-mission




PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh menolak pelantikan selaku chef-de-mission negara ke Sukan Komanwel New Delhi 2010.


Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi, yang berkata lembaga eksekutif badan induk itu akan memutuskan pada mesyuaratnya yang akan datang untuk melantik chef-de-mission yang baru.

“Datuk Nadzmi sudahpun memaklumkan secara rasmi kepada MOM mengenai penolakannya. Alasan yang diberikan ialah beliau terlalu sibuk dengan tugas dan kemungkinan tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada jawatannya.

“Oleh itu, Lembaga Eksekutif MOM dalam mesyuaratnya akan melantik chef-de-mission yang baru dan buat masa ini, belum ada calon yang dikenal pasti.”

Lembaga Eksekutif MOM pada mesyuaratnya bulan lalu, menamakan Nadzmi sebagai chef-de-mission Sukan Komanwel manakala Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong sebagai ketua kontinjen ke Sukan Asia Guangzhou.

Bagaimanapun, pembabitan Nadzmi selaku chef-de-mission Sukan Komanwel mula dalam keraguan selepas Pengerusi Proton Holdings Bhd (Proton) berusia 55 tahun itu diserang angin ahmar ketika berada di India dan dimasukkan ke Hospital Apollo, Chennai.

Beliau ketika itu mengikuti delegasi perdagangan dan pelaburan Malaysia di India yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

No comments: