Monday, 27 July 2009

Tunku Imran minta gabungan ambil peluang

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mahu ahli gabungannya mengambil kesempatan daripada saluran dedikasi sukan yang bakal dilancarkan kelak di stesyen televisyen berbayar untuk merangsang perkembangan sukan di negara ini dan melahirkan atlit berbakat.

Presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, berkata saluran sukan itu yang akan menyiarkan sepenuhnya aktiviti dan pertandingan yang membawa atlit tempatan, mampu memberi pendedahan kepada persatuan sukan yang sebelum ini terpaksa bersaing mendapatkan liputan.

"Saya berharap persatuan sukan kebangsaan merancang dengan lebih tersusun program mereka untuk dimuatkan dalam saluran sukan itu," kata Tunku Imran selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis MOM di Kuala Lumpur, semalam.

"Saluran sukan itu bukan hanya menyiarkan aktiviti dan pertandingan tempatan tetapi juga akan membuat liputan pertandingan yang membabitkan atlit negara di peringkat antarabangsa. Tumpuan utamanya ialah kepada atlit dan sukan tempatan."

Selain mendapatkan penjelasan mengenai saluran dedikasi sukan itu, mesyuarat semalam turut meluluskan penubuhan tabung amanah atlit dengan modal permulaan sebanyak RM8 juta.

"Ahli Majlis sebulat suara bersetuju dengan penubuhan tabung amanah ini dan selepas ini MOM akan menubuhkan lembaga pemegang harta untuk menguruskannya dengan modal pendahuluan RM8 juta daripada tabung kewangan MOM sendiri."

No comments: