Monday, 27 July 2009

Isu H1N1: MOM kecewa sikap kementerian

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

'Moral atlit terjejas teruk'

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyuarakan rasa kecewa terhadap keputusan Kementerian Pelajaran mengenakan larangan ke atas atlit remaja daripada menyertai pertandingan antarabangsa sehingga 'menjejaskan teruk moral' barisan atlit itu.

Presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar menyifatkan larangan dikenakan itu walaupun dibuat untuk melindungi atlit muda daripada wabak Influenza A (H1N1) tetapi tampak diambil secara tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu meneliti semua pilihan, termasuk mengadakan perbincangan dengan MOM dan pihak lain yang berkaitan.

“MOM ingin menyatakan rasa kecewa dengan keputusan Kementerian Pelajaran melarang atlit remaja yang masih bersekolah daripada bertanding dalam kejohanan antarabangsa,” kata Tunku Imran pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis MOM di Kuala Lumpur, semalam.

“Memang langkah Kementerian Pelajaran untuk melindungi atlit tetapi MOM berpendapat keputusan itu dibuat tanpa terlebih dahulu meneliti semua pilihan lain yang ada. Malah MOM sendiri tidak dirujuk sedangkan dalam badan induk ini ada pegawai yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perubatan OCA (Majlis Olimpik Asia) dan juga anggota jawatankuasa perubatan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa).

“Malah jika Kementerian mahu mendapat kelulusan ibu bapa sebelum menghantar anak mereka menyertai pertandingan antarabangsa, ia boleh dilakukan. Malangnya, sekatan Kementerian tampak hanya menjejaskan moral atlit yang sudah berlatih bersungguh-sungguh.

“Saya juga bimbang bahawa sekiranya larangan atau sekatan ini terus dilaksanakan ia akan menjejaskan prestasi atlit kita terutama di sukan temasya besar seperti Sukan Sea di Laos, Disember ini,” kata Tunku Imran.

Kementerian Pelajaran sebelum ini mengeluarkan arahan melarang atlit sekolah daripada menyertai pertandingan antarabangsa kerana bimbang dijangkiti H1N1.

Larangan itu menyaksikan Malaysia terpaksa menarik diri Temasya Belia Asia (AIG) di Singapura dan juga kejohanan olahraga remaja dunia di Itali, akhir bulan ini.

Mesyuarat semalam menyaksikan ahli majlis mendapat penjelasan daripada wakil Kementerian Pelajaran yang menyatakan tiada halangan untuk atlit sekolah bertanding asalkan mengemukakan permohonan melalui Majlis Sukan Negara (MSN), yang kemudian akan menghulurkannya kepada bahagian sukan Kementerian Pelajaran sebelum ia diserahkan kepada jawatankuasa 3K Khas dipengerusikan Timbalan Menteri Datuk Wee Kia Siong.

Malah, menurut wakil kementerian, mereka memerlukan tiga minggu untuk memproses sebarang permohonan.

No comments: