Friday, 24 July 2009

'Atlit harus jadi keutamaan'

Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my

Mereka penggerak ekonomi: Kok Chi

HASRAT membangunkan industri sukan perlu seiring dengan pembangunan atlit, kerana atlit menjadi komoditi penting bagi merancakkan industri, terutama andai mereka berjaya meletakkan diri sebagai pemain nombor satu dunia.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi, berkata hasrat membangunkan industri sukan di negara ini wajar dipuji tetapi pihak yang terbabit tidak harus melupakan hakikat bahawa atlit menjadi pemacu kejayaan industri itu.

“Atlit hadir bagi mencetuskan semangat patriotisme dan kejayaan mereka mencetuskan demam acara sukan tertentu yang ditandinginya. Jadi merekalah yang menggerakkan ekonomi itu.

“Namun, agak janggal andai industri dapat berkembang andai komoditi utamanya (atlit) tidak kelihatan,” katanya.

Beliau mengulas hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengumumkan langkah besar untuk melakukan anjakan paradigma masyarakat mengenai sukan dengan menampilkan sukan sebagai industri yang boleh membawa kekayaan.

Sambil memberikan contoh, Kok Chi berkata universiti yang cantik sahaja tidak ada gunanya jika tiada pensyarah dan pelajar.

Berikutan itu, Kok Chi menegaskan, betapa perkara utama yang perlu ditekankan KBS ketika ini adalah meneruskan usaha melahirkan lebih ramai atlit bertaraf dunia kerana dengan sendirinya kelak, industri sukan akan berkembang.

“Hakikat di negara ini adalah rakyat akan melihat model. Bila atlit menang, maka acara sukan itu pasti menjadi popular. Andai atlit kalah, maka sukan itu tidak lagi disertai,” katanya.

No comments: