Wednesday, 1 July 2009

KBS tak halang atlit sertai kejohanan luar


Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bharian.com.my



KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menghalang penyertaan atlit negara di mana-mana kejohanan antarabangsa ketika ini walaupun terdapat kebimbangan berhubung penularan wabak Influenza A (H1N1) di seluruh dunia ketika ini.

Namun, kementerian itu akan tetap mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara sebelum menghantar atlit ke sesebuah kejohanan antarabangsa itu.

Pendekatan KBS itu disuarakan sendiri timbalan menterinya, Datuk Razali Ibrahim ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad sepak takraw negara yang akan beraksi di Piala Raja Thai dari 2 hingga 7 Julai ini.
“Atlit kebangsaan bebas beraksi di mana-mana kejohanan antarabangsa dan KBS tidak sesekali menghalang pembabitan mereka di kejohanan peringkat tertinggi kerana menyedari kepentingan aksi antarabangsa untuk atlit negara.

“Tetapi KBS akan sentiasa mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara dan jika kami disarankan untuk tidak membenarkan atlit negara kerana wabak H1N1, barulah kami mengenakan larangan kepada atlit terbabit,” kata Razali.

“Kami sedar betapa serius penularan wabak H1N1 ketika ini dan kerana itu MSN serta ISN juga sudah bersedia dengan langkah pencegahan untuk pemain sepak takraw negara di Bangkok nanti serta pemeriksaan kesihatan sebaik pulang ke tanah air nanti,” kata Razali. Razali turut menegaskan situasi pembatalan penyertaan kontinjen negara oleh KBS di Sukan Belia Asia yang bermula kelmarin di Singapura dan penyertaan skuad sepak takraw negara ke Piala Raja Thai adalah dua situasi berbeza.

Pembatalan ke Singapura adalah selaras dengan arahan Kementerian Pelajaran yang tidak membenarkan mana-mana pelajar sekolah menyertai sebarang kejohanan luar sekolah dan 79 atlit yang sepatutnya ke Singapura terdiri daripada pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.

No comments: