Wednesday, 1 July 2009

AYG 2009 - Hanya Malaysia tarik diri















Lukman Salleh

lukmsal@bharian.com.my



SUKAN Belia Asia (AYG) pertama yang bermula di Singapura kelmarin menyaksikan hanya Malaysia, satu-satunya negara yang tidak menghantar kontinjen utamanya pada ketika lebih 40 negara Asia berhimpun merebut lebih 90 pingat emas yang ditawarkan.

Keputusan Malaysia untuk tidak menghantar kontinjen utamanya ke AYG kerana kebimbangan jangkitan Influenza A (H1N1), menyaksikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) kemungkinan terpaksa menanggung kerugian lebih RM120,000 untuk bayaran penginapan, peralatan dan pakaian sukan.

Dan ketika ini, MOM sedang berusaha untuk memujuk jawatankuasa penganjur memulangkan kembali semua ataupun sebahagian daripada wang yang sudah didepositkan.
“MOM sedang mencuba (mendapatkan bayaran deposit),” kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi ketika dihubungi di Singapura, semalam. “Sebenarnya kami tidak membuat bayaran awal tetapi lewat daripada tarikh yang sepatutnya dan jumlahnya juga tidak begitu tinggi.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkannya dan berharap penganjur akan dapat memahami kedudukan kami,” katanya.

Difahamkan, MOM membayar AS$25,000 (RM89,000) untuk penginapan lebih 100 atlit dan pegawai pasukan negara, RM8,000 untuk pakaian seragam dan hampir RM4,000 untuk menyewa bot bagi pertandingan perahu layar. Dan difahamkan juga MOM sudahpun menghantar surat tuntutan perbelanjaan kepada MSN untuk mendapat bayaran balik.

Selain itu, MSN juga dilaporkan memberikan RM4,000 untuk tiga sukan - bola keranjang, bola tampar dan ping pong - sebagai persediaan untuk mempersiapkan pasukan ke temasya itu.

Malaysia menarik diri di ambang temasya itu selaras dengan arahan Kementerian Pelajaran yang melarang pelajar sekolah daripada menyertai sebarang pertandingan di luar negara.

No comments: