Wednesday, 1 July 2009

Hanya Atlet Disahkan Sihat Bertanding Di Luar Negara


KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Hanya atlet yang benar-benar sihat dibenarkan mengikuti pertandingan di luar negara tetapi mereka perlu menjalani kuarantin selama seminggu bila kembali ke Malaysia seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata walaupun bimbang dengan penularan wabak influenza A (H1N1), kementeriannya dan Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga kini masih belum mengeluarkan sebarang larangan untuk atlet negara berlatih ataupun mengikuti kejohanan di luar negara.

"Tahap kesihatan atlet akan dipantau oleh pasukan perubatan setiap masa bagi memastikan bahawa mereka tidak terdedah dengan jangkitan virus tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bendera kepada kontinjen sepak takraw negara yang akan bertolak ke Bangkok esok bagi mengikuti Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai ke-25.

Razali menaruh harapan tinggi kepada kontinjen sepak takraw negara untuk mempertahankan kedudukan sebagai naib johan di kejohanan yang sama pada tahun lepas.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Ahmad Ismail pula berkata beliau yakin bahawa mereka mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas bagi pasukan lelaki dan pingat sebarang warna bagi pasukan wanita.

-- BERNAMA

No comments: