Monday, 27 July 2009

MOM bimbang sikap diam Laos


Saringan atlit bermula esok biarpun tak banyak diketahui dari tuan rumah Sukan Sea

PADA ketika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersiap sedia menyaring atlit yang akan beraksi pada Sukan Sea XXV, wujud kebimbangan tuan rumah Laos berdepan pelbagai masalah untuk menganjurkan temasya itu Disember depan.

Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, berkata jawatankuasa pemilihan badan induk akan bermesyuarat dua hari - esok dan Rabu ini - untuk memilih atlit membentuk kontinjen negara biarpun Laos tidak memberikan banyak maklumat mengenai persediaannya.

"Ahli gabungan dan MOM sendiri berasa agak bimbang dengan sikap mendiamkan diri Laos. Tidak ada maklumat mengenai tahap persediaan oleh Laos.

"Laos perlu memaklumkan kepada negara peserta mengenai perkembangan persediaan mereka. Saya berharap Laos tidak berdepan masalah besar.

"Apapun MOM akan mula menyaring atlit untuk ke Sukan Sea bermula Selasa dan Rabu ini," kata Tunku Imran.

Sukan Sea XXV akan bermula dari 9 hingga 18 Disember di Vientiane, menyaksikan 25 sukan dipertandingkan dan Malaysia dijangka mengambil bahagian dalam 20 sukan.

Dengan aksi atlit Malaysia dalam kejohanan antarabangsa tahun ini begitu terbatas disebabkan penularan wabak Influenza A (H1N1), Tunku Imran tidak menolak kemungkinan aksi atlit negara pada temasya kali ini mungkin terjejas berbanding dua tahun lalu apabila kontinjen negara muncul naib juara keseluruhan pada temasya Korat 2007.

"Ia mungkin mempunyai implikasi dan menjejaskan prestasi atlit Malaysia memandangkan mereka tidak mendapat pendedahan mencukupi akibat daripada kebimbangan H1N1," katanya.

Bagi kelayakan automatik ke Sukan Sea XXV, MOM menetapkan syaratnya ialah perlu mengatasi atau menyamai catatan tempat kedua temasya lalu.

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

No comments: