Wednesday, 1 July 2009

OCA ubah putaran Sukan Asia


Temasya sebelum Sukan Olimpik bantu tumpuan 45 negara anggota

MAJLIS Olimpik Asia (OCA) bercadang untuk melakukan rombakan besar-besar kepada kalendar pertandingan yang bakal menyaksikan kejohanan utamanya, Sukan Asia dianjakkan daripada tarikh asalnya kepada jadual baru iaitu setahun sebelum Sukan Olimpik bermula.

Perubahan itu adalah antara cadangan dibincangkan Jawatankuasa Sukan OCA dan dibentang kepada Lembaga Eksekutif semalam, yang turut membabitkan penganjuran beberapa temasya lain dalam senarai majlis itu.
Sukan Asia ketika ini dianjurkan empat tahun sekali iaitu tahun genap, dua tahun sebelum Sukan Olimpik bermula dengan Guangzhou akan menjadi tuan rumah temasya 2010

"Bermula dari 2016 OCA akan menggunakan putaran baru itu, berikutan kajian dan perbincangan di kalangan anggota jawatankuasa dan juga bersama jawatan kuasa teknikal badan itu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Sukan OCA, Wei Jizhong (gambar), dari China.

“Cadangan itu akan dibawa kepada Lembaga Eksekutif dan pada dasarnya kami menerima rancangan ini, dengan beberapa pandangan diberikan. “Kami boleh katakan bahawa jawatankuasa sukan bersetuju pada dasarnya dengan semua cadangan berkaitan dengan pembahagian sukan dan putaran penganjurannya.

“Keputusan muktamad mengenai cadangan ini akan ditentukan pada Perhimpunan Agung OCA (Jumaat ini),” katanya.

Perubahan yang dicadangkan itu turut menyaksikan Sukan Dalam Dewan Asia dan Sukan Mempertahankan Diri Asia akan digabungkan menjadi satu temasya dan dianjurkan empat tahun ini, sekali gus menyaksikan OCA mempunyai lima temasya berbanding enam ketika ini.

Menurut, Jizhong, perubahan itu dapat meringankan beban 45 negara anggota OCA, dengan hanya perlu menumpukan perhatian kepada satu sukan bertemasya setahun, kecuali bila diadakan Sukan Musim Sejuk Asia, di mana akan berlangsung dua kejohanan.

No comments: