Thursday, 2 July 2009

MOM tidak mahu cepat melatah

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my



Yakin empat sukan penyumbang utama pingat negara akan diterima anggota OCA

EMPAT sukan - karate-do, skuasy, tenpin bowling dan wushu - yang menjadi penyumbang utama pingat negara di Sukan Asia kini perlu bersaing dengan tujuh disiplin lain untuk dikekal dalam senarai temasya tatkala Majlis Olimpik Asia (OCA) mengurangkan jumlah sukan selepas Guangzhou 2010.

Dalam dua temasya lalu - Busan 2002 dan Doha 2006 - keempat-empat sukan ini menyumbang keseluruhan 12 emas kepada kontinjen negara dan pastinya ketiadaan disiplin ini daripada kalendar Sukan Asia akan membawa implikasi yang cukup besar kepada program sukan negara.

Bagaimanapun, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak melatah, sebaliknya percaya bahawa keempat sukan ini akan diterima menjadi sebahagian daripada 35 sukan yang akan diputuskan oleh Perhimpunan Agung OCA pada mesyuaratnya di Singapura, esok.

"MOM tidak bimbang kerana saya pasti semua sukan itu akan diterima negara anggota OCA," kata Setiausaha Agungnya, Datuk Sieh Kok Chi di Singapura, yang akan menghadiri perhimpunan agung itu. "Acara ini sudah diterima oleh semua negara dan bukan membabitkan sejumlah kecil negara saja yang bertanding.

"Kita tidak perlu bimbang walaupun pada masa yang sama MOM akan tetap memantau perkara itu dan memastikan tidak ada satu pun sukan disebut dicicirkan.

"Saya berasa cukup yakin bahawa kita tidak akan kehilangan apa-apa dan juga tidak akan kerugian apa-apa," kata Kok Chi.

Kelmarin, Lembaga Eksekutif OCA membincangkan mengenai jumlah sukan yang dipertandingkan pada Sukan Asia dengan sejumlah 42 disiplin menjadi taruhan di Guangzhou, tahun depan, tetapi badan sukan serantau itu mahu mengurangkannya kepada maksimum 35 sukan selepas temasya itu.

Daripada jumlah itu, 28 sukan yang berada dalam kalendar Temasya Olimpik dikekalkan dan baki tujuh sukan lagi akan dipilih daripada 10 sukan yang disenaraikan - antaranya kabaddi, karate-do, golf, ragbi, tenpin bowling, skuasy, sepak takraw, wushu dan kriket.

No comments: