Friday, 24 July 2009

Kementerian Pelajaran membisu tuntutan RM206,000 MOM

KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan masih belum menerima sebarang surat daripada Kementerian Pelajaran untuk diadakan perbincangan berhubung ganti rugi RM206,000 yang dituntut kerana menarik diri daripada Sukan Remaja Asia di Singapura.

Walaupun pada 15 Julai lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong telah memberi jaminan akan berjumpa dengan MOM mengenainya namun selepas lebih seminggu, kementerian itu terus diam membisu.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi ketika dihubungi mengakui tidak menerima apa-apa surat daripada Kementerian Pelajaran termasuk dihubungi melalui telefon.

"Kami masih belum menerima apa-apa jemputan untuk diajak berbincang seperti yang diumumkan Timbalan Menteri tempoh hari.

"Sehubungan itu, kami akan membawa perkara ini ke mesyuarat majlis MOM Sabtu ini (esok) untuk tindakan selanjutnya.

"Ia akan menjadi agenda utama mesyuarat memandangkan isu tuntutan ganti rugi itu masih gagal diselesaikan," katanya.

Dalam waktu sama, Kok Chi turut mengesahkan bahawa MOM akan terus mencuba mendapatkan jasa baik Singapura dalam menyelesaikan pembayaran balik wang pendahuluan ke temasya itu.

Bagaimanapun beliau tidak tahu berapa lama tempoh MOM harus menunggu untuk mendapatkan jawapan yang masih tidak pasti daripada Singapura.

MOM dalam mesyuarat lembaganya 14 Julai lalu telah memutuskan untuk menuntut ganti rugi daripada Kementerian Pelajaran berikutan penarikan diri kontinjen negara ke Sukan Remaja Asia di Singapura selepas dikaitkan dengan wabak selesema babi (H1N1).

Malah, MOM merasakan pandangan mereka diketepikan begitu sahaja sedangkan pihaknya sudah pun mengeluarkan perbelanjaan RM206,000 sebagai pendahuluan yang dibayar kepada penganjur temasya.

Wang tersebut digunakan untuk menanggung kos penginapan, pengangkutan dan makan pegawai dan atlet remaja negara.

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar sendiri mengesahkan Singapura enggan membayar balik wang tersebut walaupun dituntut pihaknya baru-baru ini.

Menurut beliau, MOM tiada pilihan selain terpaksa menuntut ganti rugi itu daripada Kementerian Pelajaran kerana mereka yang membuat keputusan menarik diri di saat akhir. - UTUSAN

No comments: