Wednesday, 17 June 2009

SRAM harap hujah wakil mampu pikat IOC

Oleh Lukman Salleh

lukmsal@bharian.com.my

SEGALANYA sudah dilakukan, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) kini hanya menunggu Ogos nanti untuk mengetahui sama ada acara itu akan disenaraikan di Sukan Olimpik 2016.

Sambil menyifatkan hujah yang dilakukan di hadapan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 'amat indah' dan berjalan lancar kelmarin, SRAM berharap ia mampu memikat badan induk itu untuk menyenaraikannya sebagai antara acara yang dipertandingkan.

Dengan barisan terdiri daripada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar serta pemain wanita nombor satu dunia, Nicol Ann David, skuasy akan bersaing dengan enam sukan lain untuk mengisi dua slot yang disediakan untuk Sukan Olimpik 2016.
Presiden SRAM, Datuk A Sani Karim berkata, kini terpulang kepada IOC untuk membuat keputusan dan berharap ia akan memihak kepada skuasy, untuk disenaraikan buat pertama kali dalam kalendar Sukan Olimpik, sesuatu yang amat dinantikan atlit dan peminat negara.

"Kami tidak boleh berasa terlalu yakin kerana semuanya bergantung kepada kebijaksanaan IOC dan kami sudah melakukan tugas sebaik mungkin.

"Saya dimaklumkan oleh Tunku Imran bahawa pembentangan di hadapan Lembaga Eksekutif IOC berjalan lancar, tanpa sebarang masalah dan sememangnya kami mengharapkan yang terbaik akan terbit daripada situ. "Persaingan memang sengit kerana skuasy akan bersaing dengan enam sukan lain untuk mengisi hanya dua tempat yang disediakan oleh IOC," katanya.
BERITA HARIAN

No comments: