Wednesday, 17 June 2009

MOM Syor Laos Guna Khidmat Pegawai Antarabangsa


KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesyorkan penganjur Sukan SEA ke-25 di Vientianne, Laos, supaya mengambil khidmat pegawai teknikal yang benar-benar berwibawa bagi memastikan temasya sukan pada bulan Disember ini berjalan lancar serta bagi mendapat pengiktirafan persekutuan sukan antarabangsa.

Setiausaha Kehormat MOM berkata beliau bimbang dengan faktor kekurangan pegawai-pegawai teknikal yang berwibawa dan berkelayakan untuk mengendalikan temasya sukan itu.

Laos, pertama kali menganjurkan temasya sukan itu dilaporkan memperolehi bantuan ihsan berjumlah RM300 juta sumbangan negara anggota Asean untuk menganjurkan sukan itu kerana kekurangan dana.

Sumbangan dana antara lain digunakan untuk membina stadium utama dan kemudahan-kemudahan atlet.

"Saya mencadangkan kepada pihak penganjur, Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Laos untuk mendapatkan khidmat pegawai-pegawai teknikal yang diiktiraf oleh persekutuan sukan antarabangsa," katanya kepada Bernama hari ini.

"Ini untuk memastikan penganjuran sukan itu berjalan dalam keadaan adil, telus dan mengikut peraturan. Masalah besar Laos kini adalah pihak penganjurnya tidak memiliki dana kewangan yang mencukupi," katanya.

Kok Chi berkata beliau tidak bimbang mengenai aspek infrastruktur seperti perkampungan atlet, stadium pertandingan, pengangkutan, dan kemudahan lain, kerana menurutnya semua kerja-kerja pembinaannya hampir selesai.

"Yang membimbangkan adalah pegawai-pegawai teknikal yang berwibawa dan berkelayakan untuk mengadili dan membuat keputusan yang telus dan saksama dalam kejohanan itu nanti," katanya.

Sukan Sea ke-25 dari 9 hingga 18 Disember ini membabitkan 386 acara dalam 25 jenis sukan.

-- BERNAMA

No comments: