Thursday, 11 June 2009

MOM sedia perhalusi komen: Jega


Oleh Ahmad Khawari Isa

Jadi bahan perbincangan pada bengkel Perancangan Strategik September ini

KOMEN dan kritikan membina sepanjang tempoh menjelang pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dua minggu lalu, kini akan diperhalusi selaku cadangan buat memperkukuhkan lagi badan induk berkenaan.

Semua itu akan dihimpunkan untuk jadi bahan perbincangan ketika bengkel khas anjuran Jawatankuasa Perancangan Strategik MOM, September nanti.

"Antara matlamat bengkel berkenaan ialah untuk membuat kajian semula mengenai aspek kekuatan serta kelemahan MOM.

"Hasil daripada bengkel itu nanti akan dijadikan asas untuk membentuk Plan Strategik Lima Tahun MOM 2010-2015," kata Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr M Jegathesan yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Sehubungan itu, Jegathesan meminta sumbangan pendapat serta maklumat berkaitan daripada semua persatuan sukan kebangsaan untuk dijadikan agenda perbincangan tambahan nanti.

"Kita mahu pelan yang dirangka nanti merangkumi semua aspek yang bukan sahaja akan memperkukuhkan lagi MOM, tetapi memastikan peranan persatuan sukan kebangsaan juga akan lebih ketara," katanya.

Antara aspek ditimbulkan sebelum pemilihan itu ialah perlunya MOM memberi penekanan terhadap ahli gabungannya, termasuk memainkan peranan lebih aktif dalam membantu aktiviti dan pentadbiran persatuan sukan kebangsaan.

Sementara itu, Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar akan memimpin dua jawatankuasa - Jawatankuasa Pemilihan dan Media - dalam rombakan tanggungjawab barisan kepimpinan baru badan induk itu.

Selain Jawatankuasa Perancangan Strategik, Jegathesan juga akan mempengerusikan Jawatankuasa Perubatan dan Doping MOM.

Naib Presiden, Datuk Roy Rajasingham juga memegang dua portfolio - Jawatankuasa Pengurusan dan Penasihat Guaman serta Timbangtara dan Rundingan.

Suruhanjaya Atlit dipengerusikan Profesor Dato Dr Zakaria Ahmad, Datuk Seri Kee Yong Wee (Jawatankuasa Kewangan dan Pemasaran), Low Beng Choo (Jawatankuasa Wanita dan Sukan), Profesor Dato W Y Chin (Jawatankuasa Am) dan Datuk A Sani Karim mempengerusikan Jawatankuasa Fasiliti dan Muzium MOM.

No comments: