Wednesday, 10 June 2009

MSN janji bayar tuntutan RM5j


ISU tuntutan kira-kira RM5 juta persatuan sukan kebangsaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang tertunggak tidak seharusnya dijadikan alasan mengurangkan program pembangunan kerana Kementerian Belia dan Sukan akan melunaskannya tahun ini.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata bayaran tunggakan itu akan dilunaskan secara berperingkat-peringkat kepada persatuan sukan tidak lama lagi selepas segala proses berkaitan pengesahan terhadap tuntutan berkenaan selesai.

“Ini sebenarnya bukan isu kerana kita akan bayar kepada mereka tidak lama lagi. Bajet untuk bayaran itu sudah ada,” katanya selepas penyerahan tajaan Kejohanan Bola Jaring Asia ke-7, di Putrajaya semalam.
Beliau turut menjelaskan betapa sukan dan belia sentiasa mendapat penekanan seimbang daripada kementeriannya termasuk dalam aspek keutamaan dalam belanjawan tahunan.

“Harap jangan ada yang menganggap kita tidak fikir mengenai sukan. Kita sentiasa mengutamakan sukan tetapi pada masa sama, pembangunan belia turut perlu diperhatikan,” katanya.

Berhubung peruntukan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM210 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk kementerian, Ahmad Shabery berkata, ia dikhususkan untuk menggalakkan belia berniaga serta program membabitkan Satu Belia Satu Malaysia. “Dana sukan tidak termasuk dalam pakej rangsangan ini kerana ia membabitkan belanjawan lain,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Shabery berharap, skuad bola jaring negara mampu mencapai kejayaan tertinggi lebih-lebih lagi kejohanan yang membabitkan sembilan negara itu, diadakan di halaman sendiri.

Kejohanan itu akan berlangsung 19 hingga 28 Jun ini dan Malaysia mensasarkan gelaran juara dan menebus kekecewaan tewas kepada Singapura pada final 2005. Skuad bola jaring berada di ranking ke-19 dunia, manakala skuad remaja gah di ranking pertama Asia.

BERITA HARIAN

No comments: