Friday, 12 June 2009

Pembentangan DSN Tunggu Keputusan Menteri, Kata KSU KBS

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Perubahan teraju kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyebabkan proses kelulusan Dasar Sukan Negara (DSN) yang menjadi asas hala tuju sukan di negara ini belum dapat dilaksanakan.

Ketua Setiausaha KBS Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh berkata proses mengemaskini draf akhir dasar itu telah siap tetapi pertukaran menteri pada rombakan Kabinet April lepas menyebabkan beberapa perkara perlu dikaji semula.

Dalam rombakan Kabinet itu, Datuk Ahmad Shabery Cheek menggantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Semakan draf akhir DSN telah diserahkan kepada menteri baru dan beliau perlu diberikan masa untuk meneliti draf tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Pada Mac tahun lepas, Ismail Sabri meminta Mohd Yassin menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk membuat penambahbaikan kepada DSN agar relevan dengan keadaan semasa.

DSN yang dipersetujui pada 1988 menyebabkan banyak jenis sukan yang belum wujud atau popular ketika itu tidak disenaraikan dalam dasar tersebut.

Ismail Sabri sepatutnya membentangkan DSN pada November tahun lepas kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (JKPS) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tetapi pembentangan tersebut terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan cadangan dan pandangan daripada Konvensyen Sukan Kebangsaan pada 12 Nov 2008 dimasukkan ke dalam DSN.

Mohd Yassin berkata terpulang kepada Ahmad Shabery sama ada mahu membentangkannya terlebih dahulu kepada JKPS yang kini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau terus membentangkannya kepada Kabinet.

-- BERNAMA

No comments: