Thursday, 21 May 2009

Presiden, timbalan satu lawan satu


Tunku Imran Tuanku Ja’afar ( Kiri ) dan Dr. M. Jegathesan( Kanan )


KUALA LUMPUR – Menepati ramalan. Dua jawatan tertinggi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) iaitu Presiden dan Timbalan Presiden yang masing-masing disandang oleh Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Datuk Dr. M. Jegathesan akan dipertandingkan secara satu lawan satu pada pemilihan Perhimpunan Agung Tahunan MOM, 30 Mei ini.

Pencabar Presiden MOM ialah Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut menerajui empat persatuan sukan kebangsaan iaitu renang, olahraga, kabaddi dan petanque sementara Naib Presiden MOM sekarang, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad bakal menyaingi Jegathesan.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi bagaimanapun menarik nafas lega apabila disahkan menang tanpa bertanding setelah jawatan yang disandangnya sejak 1992 itu tidak menerima pencalonan lain sehingga tempoh akhir yang ditetapkan.

Naib Presiden (wanita) MOM, Low Beng Choo pula yang sebelum ini berhasrat mencabar Kok Chi, dikatakan menolak untuk merebut jawatan itu pada saat-saat akhir tetapi menang tanpa bertanding bagi jawatannya sekarang.

Panel yang dianggotai tiga ahli bebas bagi mengendalikan pemilihan penggal 2009-2011 itu, mengumumkan keputusan pencalonan pucuk pimpinan MOM di Wisma MOM di sini, semalam.

Tidak ketinggalan menarik perhatian ialah jawatan Naib Presiden MOM yang menyaksikan persaingan enam penjuru dengan tiga daripada empat penyandangnya ialah Prof. Datuk Ar. Chin Wai Yong, Prof. Datuk Zakaria Ahmad dan Datuk Roy Rajasingham.

Ibrahim melepaskan jawatan tersebut bagi merebut kerusi Timbalan Presiden sementara tiga lagi calon Naib Presiden terdiri daripada bekas Pengurus Besar MOM, MP Haridas, Setiausaha Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong dan Presiden Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), Datuk A. Sani Karim.

Tunku Imran yang tidak pernah dicabar sejak menerajui MOM dengan menewaskan Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1999, pernah cuba ditentang Shahidan, dua tahun lalu tetapi bekas Menteri Besar Perlis itu membatalkan hasratnya kemudian.

Bendahari, Datuk Seri Kee Yong Wee pula mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding begitu juga wartawan Utusan Malaysia, Rosmanizam Abdullah bagi jawatan Penolong Bendahari.

Penolong Setiausaha Kehormat (lelaki), Ramlay Ibrahim bagaimanapun bakal dicabar tiga calon iaitu Hisham Mohd. Noor (boling), Ramesh Lachmanan (ragbi) dan Lawrence Yeow Eng Leong (pelayaran).

Penyandang jawatan Penolong Setiausaha (wanita), Moira Tan Siew See akan disaingi oleh bekas penyandangnya, Latifah Yacob.

Sementara itu, Kok Chi berterima kasih kepada ahli lembaga dan ahli gabungan MOM yang masih menaruh keyakinan terhadapnya untuk menjalankan tugas dan amanah tersebut sejak 17 tahun lalu.

‘‘Saya berjanji akan menjalankan tugas dengan lebih baik demi memastikan MOM terus dapat memainkan peranan menyumbangkan kemajuan sukan negara,’’ katanya.

Mengenai pertarungan satu lawan satu bagi kerusi No. 1 dan 2 MOM kali ini, Kok Chi bagaimanapun berpendapat bahawa barisan kepimpinan sedia ada sudah membuktikan kebolehan untuk memimpin MOM.

‘‘Mereka yang berhasrat untuk mencabar kepimpinan MOM sekarang perlulah mempunyai objektif dalam menyumbang kemajuan sukan negara, bukan sewenang-wenangnya mahu merebut jawatan.

“Kepimpinan MOM sekarang telah membuktikan kebolehan mereka dalam memimpin, namun segala-galanya terserah kepada perwakilan untuk membuat penilaian,’’ katanya.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: