Thursday, 21 May 2009

Dua jawatan utama dicabar


SHAHIDAN


SEJAUH mana populariti bekas atlet pecut negara, Datuk M. Jegathesan bakal diketahui pada 30 Mei ini.

Jegathesan yang pernah dilabel sebagai pelari terpantas Asia lewat 60-an, akan berdepan 'lawan baru' bagi mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan pucuk pimpinan badan olimpik negara itu.

Selepas tarikh penamaan calon ditutup semalam, Jegathesan yang menyandang kerusi No. 2 itu sejak 2005, dicabar buat pertama kali oleh naib presidennya, Datuk Seri Ibrahim Saad.


DR. IBRAHIM SAAD


Ibrahim pula yang dipilih sebagai salah seorang di antara lima naib presiden pada 2007 lalu dikatakan calon pilihan untuk menewaskan Jegathesan.

Nasib yang sama juga bakal dihadapi presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaa'far apabila bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sah akan mencabar kerusi paling panas itu.

Shahidan yang juga presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persatuan Kabbadi Malaysia, Persatuan Petanque Malaysia serta Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), bersedia mencuba nasibnya kali ini setelah menarik diri pada saat-saat akhir pada pemilihan penggal 2007 lalu.


IMRAN


Selain daripada pertembungan satu lawan satu untuk dua jawatan tertinggi MOM itu, perebutan bagi lima kerusi naib presiden juga tidak kurang hebatnya.

Selain Low Beng Choo yang berjaya mempertahankan jawatan naib presiden bagi kerusi wanita, empat lagi kerusi jawatan tersebut akan menjadi rebutan enam calon lelaki.

Prof. Datuk W. Y Chin, Datuk Roy Rajasingam dan Prof. Datuk Dr. Zakaria Ahmad akan mempertahankan jawatan tersebut daripada tiga pencabar baru iaitu Setiausaha ASUM, Edwin Choong, bekas naib presiden penggal 2005, Datuk A. Sani Karim dan Haridas.

Begitupun, kejutan berlaku ke atas orang lama MOM, Datuk Sieh Kok Chi apabila Setiausaha Kehormat MOM itu masih diberi kepercayaan untuk meneruskan tugasnya apabila menang tanpa bertanding pada hari pencalonan semalam.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan tugas sebagai Setiausaha Kehormat MOM," kata Kok Chi kepada Kosmo! semalam.


JEGATHESAN


"Jelas sekali segala pengorbanan dan penat lelah saya dalam memperjuangkan hak-hak persatuan sukan tanah air mendapat pengiktirafan daripada mereka semua.

"Dan dengan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan ini, saya berazam akan meneruskan perjuangan ini demi pembangunan sukan tanah air," kata Kok Chi lagi.

Sementara itu, jawatan Bendahari dan Penolong Bendahari MOM juga kekal apabila penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Kee Yong Wee dan Rosmanizam Abdullah menang tanpa bertanding.

Begitupun, bagi jawatan Penolong Setiausaha Kehormat lelaki, penyandangnya Ramlay Ibrahim bakal berdepan saingan hebat tiga calon lain iaitu Mohd. Hisham Md. Nor (tenpin boling), Ramesh Lachmanan (ragbi) dan Lawrence Yeow.

Penolong Setiausaha Kehormat wanita pula, Moira Tan Siew See juga berdepan bekas penyandangnya iaitu Latifah Tan Sri Yaakob.


KOSMO

No comments: