Thursday, 21 May 2009

Pertandingan Dua Jawatan Teratas MOM, Kok Chi Kekal

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 30 Mei ini akan menyaksikan pertandingan merebut jawatan presiden dan timbalan presiden.

Setelah pencalonan ditutup pada pukul 5 petang ini, MOM menerima lebih daripada seorang calon bagi jawatan Presiden yang kini disandang oleh Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan jawatan Timbalan Presiden yang kini dipegang oleh Datuk Dr M. Jegathesan.

Bagaimanapun, jawatan Setiausaha Kehormat MOM yang dipegang oleh Datuk Sieh Kok Chi sejak 1992 tidak akan dipertandingkan.

Selain itu, tiga lagi jawatan yang diumumkan kekal oleh panel bebas MOM hari ini ialah jawatan Naib Presiden wanita yang dipegang oleh Low Beng Choo, yang sebelum ini disebut-sebut akan mencabar Kok Chi, Bendahari Kehormat Datuk Seri Kee Yong Wee dan Penolong Bendahari Kehormat Rosmanizam Abdullah.

Bagi jawatan Presiden, Tunku Imran dijangka dicabar bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim manakala jawatan Timbalan Presiden persaingan dijangka antara Jegathesan dan Naib Presiden sekarang Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

Selain dua jawatan itu, dua lagi jawatan yang akan menyaksikan pertandingan adalah jawatan naib presiden (empat), penolong setiausaha kehormat (lelaki) dan penolong setiausaha kehormat (wanita). Jawatan Penolong Setiausaha Kehormat kini dipegang oleh Ramlay Ibrahim dan Moira Tan Siew See.

MOM telah membentuk panel bebas yang dianggotai oleh bekas Naib Presiden MOM Norminshah Sabirin, Datuk Abdul Malik Mohd Salleh dan Stanley Charles Louis berikutan pindaan perlembagaan MOM dalam menjalankan pemilihan yang dipersetujui oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"Esok pihak kami akan akan menghantar surat bagi memaklumkan setiap calon dan persatuan sukan mengenai pencalonan yang kami terima pada hari ini," kata Norminshah kepada pemberita di sini Rabu.

Norminshah berkata pihaknya hanya akan membuat pengumuman nama calon yang bakal bertanding bagi merebut jawatan dalam MOM pada Jumaat ini dan mereka masih mempunyai masa sembilan hari sebelum 30 Mei untuk berkempen.

Sementara itu, Kok Chi berkata beliau rasa gembira kerana sebahagian besar persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah MOM masih mempercayai kebolehan dan kejujuran beliau walaupun telah lama memegang jawatan tersebut.

"Saya berjanji akan menjalankan tugas dengan lebih adil, telus dan baik demi memajukan pembangunan sukan di negara ini. Memang tidak dinafikan bahawa saya ada juga terfikir untuk melepaskan jawatan ini namun mereka (persatuan sukan kebangsaan) masih memerlukan khidmat saya," katanya.

-- BERNAMA

No comments: