Saturday, 30 May 2009

MSN ambil sikap berkecuali - Zolkples


ZOLKPLES sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.


MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak menyebelahi mana-mana pihak yang bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, beliau bersikap terbuka serta bersedia bekerjasama dengan mana-mana indi- vidu yang dipilih kelak.

Tegasnya, dakwaan mengatakan beliau menyebelahi sesetengah pihak adalah spekulasi semata-mata.

"Saya tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa.

"Kami dalam MSN, sanggup bekerja dengan sesiapa sahaja apabila seseorang calon dipilih berada dalam pucuk pimpinan MOM," kata Zolkples.

Beliau berkata, 'orang baru' yang dipilih kelak diharap dapat memberi idea baru demi membantu membangunkan sukan kebangsaan.

"Jika ada muka baru yang dipilih, kita berharap mereka mempunyai perancangan untuk membantu membangunkan sukan negara," jelasnya.

Sementara itu, Zolkples berkata, pihaknya akan membuat keputusan mengenai penganjuran Sukan Olimpik Mini 2009 minggu depan.

"Sebenarnya MSN telah bermesyuarat dengan persatuan sukan kebangsaan mengenai tarikh baru Sukan Olimpik Mini dua minggu lalu.

"Mesyuarat kedua pula akan diadakan pada 5 Jun depan bagi memutuskan tarikh muktamad penganjuran Sukan Olimpik Mini nanti.

"Kami juga sudah mendapat bayangan tarikh tetap, namun biarlah ia diumumkan minggu depan," kata- nya.

Zolkples berkata, seramai 700 atlet negara dijangka menyertai temasya Olimpik Mini 2009.

No comments: