Saturday, 30 May 2009

Shahidan tarik diri - lagi; Tunku Imran menang

Oleh Ahmad Khawari Isa

ahmadkhawari@bharian.com.my

BUAT kali kedua, Datuk Seri Shahidan Kassim menarik diri daripada pertentangan dengan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar untuk pemilihan jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Sekali gus, kehangatan saingan beralih kepada pertembungan penyandang jawatan, Datuk Dr M Jegathesan dan pencabar, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, untuk jawatan nombor dua badan induk berkenaan.

Daripada penelitian terbaru, semalam, ianya diramal sengit selepas Ibrahim - melonjak hasil sokongan terbuka Shahidan selain kempen beberapa persatuan sukan rapat dengannya - kian menutup jurang kelebihan awal milik Jegathesan.

Kehangatan itu juga mendorong MOM, buat julung kalinya, memilih untuk mengadakan mesyuarat agung dan pemilihan secara tertutup - tanpa kehadiran media yang sejak sekian lama bebas berwatak selaku pemerhati.

Buat Shahidan, keputusan berundur itu dibuat berasaskan faktor ‘kesuntukan masa’ untuk berkempen selain tidak memiliki petanda majoriti jelas meyakinkannya supaya bertanding.

“Saya memimpin dua persatuan (Kesatuan Renang Amatur Malaysia dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) yang memberi sumbangan terbesar kepada negara dengan 21 emas ketika Sukan Sea di Korat lalu.

“Jika saya nyatakan hasrat bertanding, saya kemukakan rekod kerja saya, terutama daripada segi aspek pencapaian. Kadang kala saya rasa kecil hati sebab tiada tempat dalam MOM padahal persatuan yang saya pegang adalah penyumbang terbesar kepada jumlah pingat negara.

“(Namun) jika penyertaan saya lebih membawa kepada perpecahan, lebih baik saya undur diri...setelah mengkaji aspek itu, atas dasar kesuntukan masa, maka saya sekali lagi menarik diri,” katanya.

Shahidan juga percaya langkah itu akan membantu Ibrahim apabila menyeru pihak menyokongnya supaya turut memberikan sokongan kepada pemimpin disifatkannya mampu membawa perubahan kepada MOM.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Asum, Edwin Choong, menarik diri daripada perebutan jawatan Naib Presiden, meninggalkan hanya lima calon beradu nasib untuk mengisi empat jawatan.

No comments: