Wednesday, 20 May 2009

Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad sedia cabar Jegathesan bagi Timbalan Presiden MOM


KUALA LUMPUR - Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad mengumumkan kesediaannya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden MOM yang disandang oleh Datuk Dr. M. Jegathesan sejak 2005.

Ibrahim yang menjadi Naib Presiden pada pemilihan 2005 berkata, kesediaannya itu bagi membolehkan beliau membuat sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat sukan.

"Saya telah menerima pencalonan dan bersedia mencabar Dr. Jegathesan," katanya di sini, semalam.

Tarikh akhir penerimaan pencalonan bagi pemilihan 12 jawatan utama majlis itu ialah hari ini jam 5 petang.

Sementara itu, Dr. Jegathesan ketika dihubungi juga mengesahkan untuk mempertahankan jawatan selepas mengekalkannya tanpa dicabar pada pemilihan tahun 2007.

Empat lagi Naib Presiden MOM bagi penggal 2007-2009 ialah Profesor Dr. W.Y Chin, Profesor Datuk Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham dan Low Beng Choo.

Sebanyak 12 jawatan utama MOM bagi penggal 2009-2011 akan dipertandingkan dalam pemilihan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 30 Mei ini.

Dua jawatan utama lain yang akan ditandingi ialah jawatan presiden yang disandang oleh Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar sejak 1999 dan jawatan setiausaha kehormat yang disandang oleh Datuk Sieh Kok Chi sejak 1992.

Pada pemilihan dua tahun lepas, Tunku Imran dicabar oleh bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim tetapi Shahidan kemudian membatalkan hasratnya.

Bagi pemilihan penggal 2009-2011, Shahidan sekali lagi akan mencabar Tunku Imran selepas dicalonkan oleh persatuan yang dipimpinnya, Persatuan Renang Amatur

Malaysia (ASUM).

Sementara Sieh yang dicabar pada pemilihan dua tahun lepas oleh bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad juga terselamat selepas lawannya menarik diri.

Namun, bagi pemilihan kali ini, Sieh dikatakan akan dicabar oleh naib presiden MOM, Low Beng Choo. - Bernama

No comments: