Wednesday, 20 May 2009

Perhitungan Dr Jega, Dr Ibrahim Saad


Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my

KEHANGATAN perebutan jawatan utama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kini beralih arah apabila tumpuan kini tertumpu kepada perebutan kerusi timbalan presiden antara penyandang, Datuk Dr M Jegathesan yang akan ditentang naib presidennya, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

Perkhabaran itu menjelma selepas khabar angin yang bertiup kencang menyatakan Naib Presiden MOM, Low Beng Choo sudah menarik diri daripada hasratnya untuk merebut kerusi setiausaha kehormat yang disandang Datuk Sieh Kok Chi sejak 1992.

Dr Jegathesan yang turut menduduki jawatankuasa anti-doping antarabangsa ketika dihubungi menegaskan, beliau turut mendengar khabar angin berkenaan terutama menjelang tarikh tutup pencalonan petang ini.

“Saya ada mendengar desas desus menyatakan Datuk Ibrahim mahu mencabar saya untuk kerusi timbalan presiden, namun pengesahannya hanya boleh diketahui esok (hari ini) iaitu tarikh akhir penghantaran borang pencalonan,” katanya.

Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan naib presiden selepas Datuk A Sani Karim pada 2007 menarik diri.

Sehingga tengah hari semalam, difahamkan sudah ada 17 borang pencalonan diterima oleh panel pemilihan MOM dan seperti kebiasaannya jawatan naib presiden iaitu sebanyak lima kerusi sering menyaksikan banyak pencalonan.

Selepas ketiadaan Beng Choo yang sebaliknya mahu mempertahankan jawatan naib presiden, perebutan turut hangat untuk dua jawatan penolong setiausaha kehormat yang kini disandang oleh Ramlay Ibrahim dari Majlis Paralimpik serta Moira Tan.

Sebelum ini, kehadiran Beng Choo mencetuskan gelisah banyak pihak kerana beliau kononnya ‘dijual’ selaku calon pilihan Majlis Sukan Negara (MSN), manakala Ramlay dikatakan mahu dicabar oleh calon yang dikemukakan Kongres Tenpin Bowling Malaysia, Mohd Hisham Mohd Noor.

Moira pula mahu dicabar Latifah Yacob, yang sebelum ini tewas di tangan Moira pada pemilihan 2007. Latifah bagaimanapun sehingga kini, dilaporkan masih mengharapkan akan ada persatuan sukan kebangsaan, mencalonkannya.

Pada masa sama, persoalan itu turut menjelma apakah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, akan sekali lagi cuba merebut jawatan Presiden MOM daripada Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja’afar, selepas dia menarik diri pada pemilihan lalu.

Shahidan yang memimpin empat persatuan sukan kebangsaan, turut kelihatan melobi untuk mendesak Tunku Imran berundur, bagi memberikan laluan mudah untuknya menerajui badan induk sukan itu.

BERITA HARIAN

No comments: