Friday, 17 April 2009

Kok Chi sedia hadapi Beng Choo

Oleh Lukman Salleh

Rebut jawatan Setiausaha Agung MOM pada pemilihan bulan depan

PADA ketika Low Beng Choo mengambil pendekatan tunggu dan lihat, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi bersedia menghadapi kemungkinan dicabar naib presiden badan induk itu pada pemilihan, bulan depan.

Bagi Kok Chi, jika pertarungan tidak dapat dielakkan, dia menyandarkan nasibnya kepada latar belakang rekodnya sepanjang menjadi Setiausaha Agung MOM selama 16 tahun, cuma apa yang sedikit mengecewakan ialah laporan kononnya Beng Choo mengadap MSN untuk mendapat sokongan dan restu majlis itu.

“Saya sedia berdepan persaingan,” kata Kok Chi. “Bagi saya sesiapa saja boleh bertanding jika mendapat pencalonan dan saya tidak boleh menghalang. Cuma saya kecewa tindakan (Beng Choo) berjumpa dengan MSN untuk mendapat sokongan seperti dilaporkan.

“Persoalannya kenapa harus bertindak sedemikian. Apapun saya terpulang kepada ahli gabungan untuk menentukannya dan saya hanya menyandarkan peluang saya kepada rekod perkhidmatan saya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau berpendapat MSN harus mengambil sikap neutral dan tidak memihak atau menerima mengadap mana-mana calon yang berminat untuk bertanding dalam jawatan MOM, Kok Chi enggan mengulas sekadar menyatakan bahawa badan induk itu bertindak dengan cara profesional.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan bahawa Beng Choo berkemungkinan mencabar Kok Chi bagi jawatan Setiausaha Agung MOM pada pemilihan 30 Mei ini dan Presiden Persatuan Softbol Malaysia ini kononnya diketengahkan sebagai calon pilihan pucuk pimpinan MSN.

Beng Choo, ketika diajukan persoalan sama berhasrat untuk mencabar Kok Chi, enggan memberikan pengesahan sekadar meminta supaya menunggu sehingga pencalonan dibuka.

“Pencalonan belum dibuka lagi,” kata Beng Choo. “Tunggu sehingga pencalonan dibuka dan baru saya boleh membuat kenyataan.”

Mengenai laporan dia mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong untuk mendapat sokongan, Beng Choo menafikannya dengan berkata: “Saya sering berjumpa dengan Datuk Zol membincangkan mengenai sukan.”Berita Harian

No comments: