Friday, 17 April 2009

Beng Choo mahu cabar Kok Chi?

PAKATAN di kalangan empat pemegang jawatan utama dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tidak saling mencabar antara satu sama lain dalam menghadapi pemilihan jawatan badan itu hujung Mei depan, kini dilihat umpama 'retak menunggu belah'.

Ini kerana, Naib Presiden MOM, Low Beng Choo dikatakan telah mungkir janji.

Beng Choo kini dikatakan mahu mencabar Datuk Sieh Kok Chi yang kini menyandang jawatan Setiausaha Kehormat MOM.

Kok Chi yang mendedahkan mengenai kewujudan pakatan tersebut berkata, perjanjian 'tidak rasmi' itu yang dibuat bulan lepas telah dipersetujui oleh Presiden, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, Timbalan Presiden, Datuk Dr M.Jegathesan, Beng Choo dan beliau sendiri.

"Masing-masing bersetuju untuk mempertahankan rakan-rakan dari- pada dicabar oleh calon luar pada pemilihan di Mesyuarat Agung Tahunan MOM yang dijadual berlangsung 30 Mei depan," katanya semalam.

Untuk rekod, Kok Chi memegang jawatan setiausaha kehormat sejak 1992 selama empat penggal.

Jawatan peringkat tinggi MOM lain yang dikatakan akan dicabar ialah bagi jawatan presiden di mana mantan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim disebut-sebut akan mencabar Tunku Imran yang memegang jawatan itu sejak 1999.

Shahidan yang juga presiden empat persatuan sukan dikatakan berminat mencabar jawatan tersebut jika mendapat majoriti pencalonan daripada ahli gabungan MOM.

Shahidan ialah Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Persatuan Kabadi Malaysia dan Persekutuan Petanque Malaysia.

Kok Chi yang jelas terkejut dengan hasrat Beng Choo untuk menentangnya bagaimanapun akur dan sedia menerima cabaran tersebut.

"Tetapi saya hairan, kenapa Low berminat untuk merebut kerusi setiausaha kehormat walaupun beliau mempunyai kedudukan dan pengaruh pada peringkat antarabangsa sedangkan saya tidak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan antarabangsa.

"Saya tidak faham kenapa Low ingin berbuat demikian sedangkan saya yang membawa beliau masuk ke MOM tiga tahun lepas bagi memberi peluang kepada kaum wanita sama-sama menerajui MOM," kata- nya.

Selain daripada jawatan Naib Presiden MOM, Beng Choo turut memegang jawatan Pengerusi Muzium dan Dewan Kecemerlangan MOM dan Pengerusi Jawatankuasa Sukan Wanita MOM.

Pada peringkat antarabangsa pula, beliau adalah anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa serta Jawatankuasa Wanita Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan ahli Ja- watankuasa Wanita Dan Sukan Majlis Olimpik Asia (OCA).

Dalam pada itu, Kok Chi berkata, borang pencalonan bagi merebut jawatan dalam MOM termasuk jawatan presiden belum dikeluarkan.

"MOM akan hanya membuka borang pencalonan pada 20 Mei nanti," katanya. - Bernama

No comments: