Thursday, 16 April 2009

'Kedudukan Kok Chi tak selamat'

Oleh Ahmad Khawari Isa

ahmadkhawari@bharian.com.my

ANGIN spekulasi kini bertiup kencang - Datuk Sieh Kok Chi bakal dicabar sengit 'orang dalam' untuk jawatan setiausaha kehormat pada Mesyuarat Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 30 Mei nanti.

Perkhabaran itu timbul ekoran tindakan beberapa pihak menonjolkan Naib Presiden MOM, Low Beng Choo , selaku calon untuk menyisihkan Kok Chi daripada jawatan yang sudah 16 tahun disandangnya itu.

Malah lebih menarik, Beng Choo diketengahkan kononnya selaku 'calon pilihan' pucuk pimpinan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sekian lama mempunyai hubungan dingin dengan Kok Chi.

Nama Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, turut dikaitkan apabila didakwa sudahpun memberi 'restu' untuk pencalonan Beng Choo itu.

"Saya akui ada pihak yang bertemu dengan saya (mengenai perkara itu). Pendirian saya mudah, saya tidak halang sesiapapun untuk bertanding mana-mana jawatan selagi mereka berkemampuan," kata Zolkples.

Namun Zolkples bingkas menepis tanggapan yang ditimbulkan pihak sama bahawa dia memberi 'restu' kepada Beng Choo kerana kononnya tidak menikmati hubungan baik dengan Kok Chi.

"Saya tidak pernah ada masalah dengan Kok Chi. Mungkin ada ketikanya, kami berbeza pendapat, tetapi sebagai Ahli Lembaga MOM, saya gunakan kesempatan ketika mesyuarat untuk membangkitkan sebarang isu.

"Saya tidak punya masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa yang terpilih ketika pemilihan MOM nanti," katanya.

Usaha untuk menjelmakan pencabar itu timbul kerana rasa kurang senang pihak terbabit ekoran langkah Kok Chi mengubah pendirian dan mahu mempertahankan jawatan itu biarpun pernah memberi komitmen mahu berundur.

Andainya ia jadi kenyataan, Kok Chi bakal berdepan ujian getir selepas berjaya mengelak pertentangan dengan bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad, yang menarik diri daripada dicalonkan, dua tahun lalu.

No comments: