Friday, 17 April 2009

Low Mungkir Janji Dalam Pakatan MOM?

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pakatan di kalangan empat pemegang jawatan utama dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tidak saling mencabar antara satu sama lain dalam menghadapi pemilihan jawatan badan itu hujung Mei ini, kini dilihat umpama "retak menunggu belah" selepas naib presiden, Low Beng Choo dikatakan telah mungkir janji.

Low kini dikatakan mahu mencabar Datuk Sieh Kok Chi yang kini menyandang jawatan Setiausaha Kehormat MOM.

Sieh yang mendedahkan mengenai kewujudan pakatan tersebut kepada Bernama berkata, perjanjian "tidak rasmi" itu yang dibuat bulan lepas telah dipersetujui oleh presiden, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, timblan presiden Datuk Dr M.Jegathesan, Low dan beliau sendiri.

"Masing-masing bersetuju untuk mempertahankan rakan-rakan daripada dicabar oleh calon luar pada pemilihan di Mesyuarat Agung Tahunan MOM yang dijadual berlangsung 30 Mei depan," katanya hari ini.

Sieh memegang jawatan setiausaha kehormat sejak 1992 selama empat penggal.

Jawatan peringkat tinggi MOM lain yang dikatakan akan dicabar ialah bagi jawatan presiden di mana mantan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim disebut-sebut akan mencabar Tunku Imran yang memegang jawatan itu sejak 1999.

Shahidan yang juga presiden empat persatuan sukan dikatakan berminat untuk mencabar jawatan tersebut sekiranya mendapat majoriti pencalonan daripada ahli gabungan MOM.

Shahidan ialah presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Persatuan Kabadi Malaysia dan Persekutuan Petanque Malaysia.

Sieh yang jelas terkejut dengan hasrat Low untuk menentangnya bagaimanapun akur dan sedia menerima cabaran tersebut.

"Tapi saya hairan kenapa Low berminat untuk merebut kerusi setiausaha kehormat, walaupun beliau mempunyai kedudukan dan pengaruh di peringkat antarabangsa sedangkan saya tidak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan antarabangsa melainkan MOM sahaja.

"Saya tidak faham kenapa Low ingin berbuat demikian sedangkan saya yang membawa beliau masuk ke MOM tiga tahun lepas bagi memberi peluang kepada kaum wanita sama-sama menerajuai MOM," katanya.

Selain daripada jawatan naib presiden MOM, Low turut memegang jawatan Pengerusi Muzium dan Dewan Kecemerlangan MOM dan Pengerusi Jawatankuasa Sukan Wanita MOM.

Pada peringkat antarabangsa pula beliau adalah anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa serta Jawatankuasa Wanita Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan ahli Jawatankuasa Wanita Dan Sukan Majlis Olimpik Asia (OCA).

Low juga turut memegang jawatan sebagai timbalan setiausaha Persekutuaan Bola Lisut Antarabangsa (ISF), Setiausaha Persekutuan Bola Lisut Asia dan Presiden Persatuan Bola Lisut Malaysia (SAM).

Sieh turut berkata borang pencalonan bagi merebut jawatan dalam MOM termasuk jawatan presiden belum dikeluarkan.

"MOM akan hanya membuka borang pencalonan pada 20 Mei nanti iaitu 10 hari sebelum AGM MOM diadakan," katanya.

-- BERNAMA

No comments: