Wednesday, 25 February 2009

MOM kembali sokong 'Mini Olimpik'

Oleh LukmanSalleh

lukmsal@bharian.com.my

SELEPAS melahirkan keraguan mengenai penganjuran Mini Olimpik yang diilhamkan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan kebangsaan (NSA) kini berubah fikiran dengan bersedia memberikan sokongan untuk memastikan kejayaannya.

Perubahan itu tercapai selepas mesyuarat tiga pihak - Majlis Sukan Negara (MSN), MOM dan NSA untuk memperincikan butiran Mini Olimpik, yang antara lain adalah berteraskan kepada kualiti dengan penyertaan berdasarkan kepada syarat kelayakan yang akan ditentukan badan induk kebangsaan sukan terbabit.

Dengan hanya membabitkan lapan sukan - akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, gimnastik, lumba basikal, memanah, menembak dan olahraga - penyertaan adalah berasas kepada kelayakan yang ditentukan NSA, bukannya berdasarkan kepada mewakili negeri.


“Selepas mendengar taklimat dan pertemuan dengan MSN, MOM berpendapat temasya Mini Olimpik perlu diberi sokongan dan kita harus mencuba dahulu untuk melihat keberkesanannya,” kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.

“Mini Olimpik adalah berasaskan kepada kualiti dengan tumpuan kepada penyertaan atlit elit berbanding Sukma (Sukan Malaysia) yang lebih fokus kepada pembangunan atlit.

“Oleh itu, tidak ada pertindihan dan ia juga tidak akan menyaingi kejohanan kebangsaan yang dianjurkan NSA terbabit. Dan untuk mengekalkan kualiti dan tahap persaingan, penyertaan ke Mini Olimpik ini adalah berdasarkan kepada syarat kelayakan yang akan ditunjukkan NSA masing-masing,” kata Kok Chi.

Mini Olimpik itu dijadualkan berlangsung pada minggu ketiga Jun ini dan matlamatnya ialah untuk membantu menyediakan persaingan yang lebih tinggi kepada atlit untuk bersaing dalam temasya Sukan Olimpik dan sukan bertemasya lain seperti Komanwel dan Asia.

Pada mulanya, MOM dan beberapa NSA melahirkan keraguan dengan pengelolaan itu kerana bimbang ia akan bertindih dengan kejohanan kebangsaan dan juga Sukma yang diadakan dua tahun sekali.

“Bagi beberapa sukan seperti badminton, kelayakan adalah berdasarkan kepada ranking kebangsaan dan jumlah penyertaan juga akan dihadkan kerana mahu dikekalkan kualiti atlit yang bertanding untuk mewujudkan saingan yang tinggi.

“Selain itu, Mini Olimpik ini tidak akan membabitkan majlis sukan atau persatuan negeri sebaliknya akan diuruskan oleh MSN dan NSA,” kata Kok Chi.

Berita Harian

No comments: