Friday, 27 February 2009

MOM yakin India mampu anjur Sukan Komanwel


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) yakin India mampu menganjurkan Sukan Komanwel yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober 2010 di New Delhi, serta menyediakan prasarana yang diperlukan mengikut jadual.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, apa yang dialami New Delhi sebagai penganjur Sukan Komanwel adalah sama seperti yang dialami Malaysia ketika menganjurkan temasya sama pada 1998 yang pada masa itu mengalami krisis ekonomi dunia tetapi masih mampu menyediakan kemudahan dan menganjurkannya.

"Sekarang, keadaan ekonomi dunia tidak stabil. Mungkin mereka juga mengalami krisis ekonomi. (Namun) saya rasa soal cepat atau lambat sesuatu kemudahan sukan bukan satu masalah kerana mereka mempunyai tenaga kerja yang ramai dan murah," katanya.


Media melaporkan sebuah panel anggota parlimen India mendedahkan ibu negara India itu, kemudahan sukan yang dibina untuk temasya sukan antarabangsa itu gagal mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengangkutan, Pelancongan dan Kebudayaan, Sitaram Yechury mendedahkan fakta yang mengejutkan mengenai kelemahan dalam membuat persiapan itu dan penganjur pula sama sekali tidak bersedia untuk menganjurkan kejohanan berkenaan.

Kok Chi berkata kerajaan India berupaya menganjurkan sukan bertaraf dunia itu memandangkan negara berkenaan berpengalaman menganjurkan Sukan Asia sebelum ini.

India pernah menjadi tuan rumah kepada Sukan Asia pada 1951 dan 1982, dan pemilihan New Delhi menjadikan India negara rantau Asia kedua selepas Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Sukan Komanwel.

Temasya sukan kedua terbesar dunia itu dijangka disertai atlit dari 71 negara bekas tanah jajahan British, dan mempertanding 17 jenis sukan. - Bernama

No comments: