Wednesday, 25 February 2009

Temasya kecil cari pelapis


KUALA LUMPUR - Empat temasya kecil yang khususnya terbuka kepada atlet muda negara, mampu meluaskan gelanggang pencarian barisan pelapis untuk diketengahkan lebih ramai dalam kontinjen negara bagi menghadapi Sukan SEA Ke-25 di Laos, Disember ini.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi percaya temasya itu - Sukan Bela Diri Asia (Mei), Sukan Belia Asia (Jun), Sukan Olimpik Belia (Ogos) dan Sukan Dalam Dewan Asia (Oktober) bakal memudahkan persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengukur kemampuan mereka.

"Saya sarankan persatuan memanfaatkan pendedahan dan pencapaian atlet mereka dalam keempat-empat temasya itu.

Mungkin ada yang menyerlah dan berbakat, boleh digabungkan dengan atlet senior apabila ke Laos nanti," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau juga percaya Datuk Zolkples Embong menyokong saranan ini walaupun Ketua Pengarah MSN itu lebih suka mendedahkan atlet pelapis kerana Sukan SEA bukan lagi keutamaan Malaysia selain Laos banyak menggugurkan sukan prospek emas kita tetapi mempertandingkan semula sukan rakyat yang pelik.

Antara yang digugurkan itu ialah yang sering dipertandingkan pada Sukan Olimpik seperti bola keranjang dan berbasikal trek tetapi tuan rumah memilih sukan pelik seperti sepak bulu ayam dan renang sirip di samping muay Thai dan gusti yang dianggap Kok Chi, tidak akan disertai oleh Malaysia.

"Bagaimanapun Datuk Zolkples sempat meninjau persediaan Sukan SEA Laos di Vientiane, bulan lalu dan telah mendapat jaminan tuan rumah berhubung ketelusan dalam soal pengadilan sukan. Mereka berjanji akan cuba mengelakkan kontroversi seperti yang berlaku pada sukan subjektif pada temasya lalu," ujarnya.

Menurut Kok Chi, MOM akur untuk menyerahkan kepada budi bicara persatuan dan MSN dalam mencalonkan atlet ke Laos walaupun badan induk itu masih mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pemilihan anggota kontinjen negara seperti mana temasya besar lain - Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik.

"Masih terlalu awal untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemilihan ke Sukan SEA Laos ketika ini tetapi saya jangka selepas Sukan Bela Diri Asia Pertama di Bangkok (25 April hingga 3 Mei), mungkin kami dapat menetapkan peringkat awal pencalonannya," katanya.

Sebanyak sembilan jenis sukan tempur dengan 113 acara dipertandingkan di ibu kota Thailand itu tetapi persatuan sukan kebangsaan terlibat yang ingin menyertainya, perlu membiayai sendiri perbelanjaan dengan yuran penyertaan atlet AS$50 (RM183) sehari manakala pegawai, AS$100 (RM366).

No comments: