
Pinda Akta Pembangunan Sukan 1997 belakangkan badan induk
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) membidas langkah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk membuat beberapa pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 tanpa terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan badan induk itu ataupun badan sukan kebangsaan.
Sambil menyifatkan pindaan yang bakal dimasukkan dalam Akta 'amat keras', Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar kecewa dengan tindakan PPS yang dilihat tergesa-gesa untuk meneruskan hasrat merombak akta itu.
Tunku Imran turut melahirkan kebimbangan pindaan baru itu boleh memberi kesan mendalam kepada pembangunan sukan negara selain boleh melanggar Piagam Olimpik Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
"MOM kecewa PPS langsung tidak mempertimbangkan cadangan deraf pindaan perlembagaan yang dikemukakan MOM kepada badan itu.
"Daripada cadangan pindaan yang dikemukakan PPS itu, beberapa klausanya amat keras yang jelas tidak adil kepada persatuan sukan dan juga mereka yang terbabit dalam sukan.
"Ia (pindaan itu) jelas sekali menyimpang daripada matlamat asal pengenalan akta ini iaitu untuk pembangunan sukan tetapi kini tampak ia seolah-olah untuk mengawal dan mengambil tindakan," kata Tunku Imran selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif badan induk itu, semalam.
Presiden MOM itu berkata, antara pindaan yang dilihat amat keras ialah menambah jumlah denda atau hukuman penjara ke atas pegawai atau persatuan yang melanggar peraturan dan memberi kuasa kepada PPS untuk memasuki premis persatuan sukan tanpa memerlukan waran terlebih dahulu.
"MOM berpendapat sepatutnya PPS menangguhkan terlebih dahulu pindaan baru ini sehingga berakhir konvensyen sukan kebangsaan yang dicadangkan bulan depan," kata Tunku Imran. "MOM berpendapat sidang kemuncak itu adalah pentas terbaik untuk membincangkan semua perkara mengenai sukan termasuk akta ini.
"Apapun, MOM akan mengadakan satu pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan untuk menyatakan kebimbangan kami dan juga membangkitkan beberapa isu lain yang membelenggu sukan negara."
BH
No comments:
Post a Comment