Wednesday, 10 September 2008

Akta Pembangunan Sukan perlu dipinda

KUALA LUMPUR - Akta Pembangunan Sukan 1997 perlu dipinda dengan kadar segera demi kemajuan dan kecemerlangan sukan.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaa'far (gambar), Mesyuarat Lembaga Eksekutif yang diadakan semalam telah membincangkan perancangan yang lebih khusus terhadap pindaan akta tersebut.

''Kami telah mengumpul pelbagai pendapat yang bernas untuk melakarkan pindaan tersebut dengan lebih kemas dan bukan dalam keadaan terburu-buru,'' katanya selepas mesyuarat tersebut di Wisma MOM semalam.

Jelasnya, Akta Pembangunan Sukan 1997 dikeluarkan dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan sukan.

''Akta yang akan dipinda kali akan dilakukan lebih menyeluruh menghapuskan segala ketidakpuasan oleh semua persatuan, badan dan kelab sukan.

''Perangkaan ini sangat penting dan akan dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob pada 29 atau 30 Oktober depan,'' katanya.

Ujarnya, perangkaan kali ini dianggap lebih telus dan tidak akan membelakangi mana pihak yang sentiasa menjadi perdebatan hangat, jika timbul isu hukuman kepada individu yang melakukan kesalahan di dalam bidang sukan.

''Setidak-tidaknya ia memberi rangsangan kepada mereka yang terlibat di dalam bidang sukan untuk terus meningkatkan tahap pembangunan sukan negara.

''Saya melihat akta yang akan dikemukakan kali ini, terus berlandaskan pembangunan sukan bukan hanya mengenakan hukuman yang kurang membantu meningkatkan prestasi sukan negara,'' katanya.

Utusan

No comments: