![]() Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar |
Jangan ulangi kesilapan sama seperti 1997: Tunku Imran
SELEPAS sekali pernah 'terpedaya', sikap lebih hati-hati pasti dijelmakan buat mengelak diri terus jadi mangsa.
Itulah pendirian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang belum yakin dengan jaminan Pesuruhajaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusof betapa input badan induk itu tetap diminta terhadap cadangan meminta Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Jangan lakukan kesilapan sama seperti 1997, apabila kami langsung tidak diajak berunding ketika menyiapkan draf akta itu. Kerana itu, ada kesilapan sebaik sahaja akta diluluskan.
“Selepas itu, semua pihak mengakui ada kelemahannya. Apa peliknya ialah ketika merancang pindaan kali ini, mereka mengulangi kesilapan sama, iaitu tidak berunding dengan kami.
“Apa yang kami minta ialah berunding dengan kami, itu sahaja,” kata Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar.
Kenyataan Nik Mahmud sebelumnya tidak memberi gambaran sedia berunding dengan MOM, sebaliknya lebih kepada ‘komunikasi sehala’ dengan MOM memberi maklumat dan terpulang kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk menerimanya ataupun tidak.
Malah apa dilakukan PPS ibarat membuktikan kebimbangan awal sebelum 1997, betapa Pesuruhjaya Sukan memiliki kuasa mutlak untuk bertindak tanpa menghormati perlembagaan badan dunia dianggotai semua persatuan sukan kebangsaan.
“Kami hargai kerana diberi peluang meneliti draf itu. Sebenarnya MOM sendiri sudah sediakan cadangan pindaan sebelum ini, tetapi ia tidak diberi perhatian.
“Pada masa sama, MOM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana klausa dalam draf pindaan itu yang boleh dianggap melanggari hak asasi individu,” katanya.
“Mengapa pegawai sukan perlu dilayan berbeza. MOM tidak akan bersetuju dengan klausa yang memberikan kuasa melayan pegawai sukan berbeza daripada orang lain.
“MOM juga tidak akan bersetuju dengan mana-mana klausa yang amat keras dan bertentangan dengan amalan serta piagam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment