
SUKAN Sea yang selama ini diadakan dua tahun sekali bakal dilangsungkan empat tahun sekali - setidak-tidaknya itulah yang mahu dicadangkan Indonesia.
Namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menentang sebarang cadangan seperti itu yang dijangka dibangkit oleh Indonesia pada mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SGF) di Laos, pada 22-24 April ini.
Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, berkata MOM akan menolak sebarang usaha mengubah tempoh itu, sebaliknya mahu kejohanan dwi-tahunan itu dikenalkan seperti sekarang.
“MOM akan mengarahkan wakilnya ke mesyuarat SGF di Laos, minggu depan, supaya menolak sebarang usaha dari negara anggota SGF untuk mengubah penganjuran Sukan Sea daripada dua tahun sekali kepada empat tahun sekali.
“Kami difahamkan, Indonesia mahu mengemukakan cadangan itu dengan alasan ketika ini terlalu banyak sukan bertemasya dilangsungkan dan bertindih dengan beberapa sukan.
“Bagi MOM, terlalu awal untuk melakukan perubahan ini dan kami berpendapat penganjuran setiap dua tahun sekali seperti sekarang ini adalah paling tepat kerana ia memberi peluang kepada beberapa sukan untuk dipertandingkan dalam sukan bertemasya,” kata Tunku Imran pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga MOM di Kuala Lumpur, semalam.
Pada sidang akhbar itu juga, Tunku Imran yakin Larian Obor Sukan Olimpik Beijing, Ahad ini, akan bebas daripada sebarang gangguan seperti yang berlaku ketika di Perancis, baru-baru ini.
“Saya yakin Larian Obor di sini akan berjalan lancar dan tidak akan timbul gangguan,” kata Tunku Imran. “Pihak polis sudah memberi jaminan untuk menambah anggota mengawal laluan larian dari Dataran Merdeka ke Menara Berkembar Petronas di KLCC.
“Larian Obor ini sebenarnya melambangkan keamanan dan saya pasti rakyat negara ini tidak akan menimbulkan masalah sepanjang larian itu.”
BH
No comments:
Post a Comment