Wednesday, 16 April 2008

Anugerah Remaja Olimpian hargai 29 atlit muda

KETIBAAN Sukan Olimpik Beijing Ogos nanti mengundang Milo, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) menganjurkan Anugerah Remaja Olimpian sempena meraikan edisi ke-XXIV temasya sukan terbesar dunia itu.

Sempena edisi ke-29 itu, anugerah itu akan menghargai 29 atlit remaja di bawah 15 tahun yang cemerlang dalam sukan dan akademik dengan objektifnya adalah untuk mencetuskan semangat Olimpik dalam kanak-kanak.

Kanak-kanak yang terpilih akan menerima baucer sukan Milo bernilai RM1,500, sijil kecemerlangan yang ditandatangani bersama Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Sullivan O’Carroll serta pingat kenang-kenangan.


Pengurus Eksekutif Perniagaan Kopi dan Minuman Nestle Products Sdn Bhd, Don Howart berkata, anugerah itu menjadi pemangkin buat pemenang untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di peringkat antarabangsa.

“Anugerah ini mula diperkenalkan pada edisi ke-25 Sukan Olimpik di Barcelona, Sepanyol. Ramai pemenang anugerah ini sudah berjaya mengharumkan negara di peringkat antarabangsa.

“Antara mereka yang kini menjadi kebanggaan kita dan negara ialah Nicol Ann David, Ong Beng Hee, Au Li Yen, Lim Wai Chi dan Low Wee Wern,” katanya.

Pelancaran itu disempurnakan Tunku Imran dan turut dihadiri timbalannya, Datuk Dr M Jegathesan, setiausaha kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi, Olimpian lompat pagar era 70-an, Ishtiaq Mobarak dan bekas ratu heptathlon, Zaiton Othman.

Pemenang akan dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam sukan dan akademik daripada tempoh Januari-Disember 2008. Pencalonan dibuka kepada atlit MSSM, Majlis Sukan Negeri-negeri, Majlis Sukan Sekolah Negeri-negeri, SportExcel dan badan-badan sukan lain.

Borang pencalonan boleh diperoleh dengan melayari laman web www.milo.com.my bermula 30 April 2008.

Tarikh tutup pencalonan adalah pada akhir Februari 2009 dan pemenang akan diumumkan pada akhir Mac 2009.

BH

No comments: