Wednesday, 16 April 2008

MOM bimbang prestasi merudum skuad hoki negara

Oleh Lukman Salleh

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar melahirkan kebimbangan dengan dengan prestasi merudum skuad hoki lelaki negara selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

Bagi Tunku Imran, kegagalan mara ke Beijing adalah petanda bahawa hoki negara gagal menunjukkan sebarang peningkatan selepas turut kecundang dalam pusingan kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Athens, empat tahun lalu.

Oleh itu, katanya, Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) perlu melihat kelemahan itu yang mungkin berkaitan dengan struktur dan pentadbirannya, dan bukan disebabkan kepincangan pemainnya.


“Ia satu kejutan dari lamunan buat PHM,” kata Tunku Imran mengulas kegagalan Malaysia mara ke Beijing selepas kecundang pada pusingan kelayakan di Kakamigahara, Jepun, minggu lalu. “Untuk gagal mara ke Olimpik buat kali kedua berturut-turut adalah sesuatu yang mengecewakan.

“Sudah pasti kegagalan ini menunjukkan skuad hoki gagal meningkatkan prestasi mereka berbanding empat tahun lalu ketika mereka kecundang di pusingan kelayakan ke Athens. Jelas sekali, ia semakin menurun.

“Dalam hal ini, PHM perlu mengkaji sebab kegagalan itu. Mungkin tidak ada sebarang kelemahan kepada skuad hoki yang dibentuk, sebalik PHM perlu melihat kepada struktur mereka dengan menumpukan kepada perancangan jangka masa panjang,” katanya.

Skuad negara bimbingan Sarjit Singh gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2008 selepas sekadar seri dengan Jepun 3-3 dalam perlawanan kumpulan, sekali gus tidak layak beraksi ke final penentuan menentang Jerman, untuk mencari satu slot ke Beijing.

Bagi Tunku Imran, yang menjadikan kekecewaan itu lebih memeritkan ialah kegagalan skuad negara untuk berentap dalam penentuan final.

“Memang kita menjangkakan sukar untuk mengatasi Jerman,” kata Tunku Imran. “Malah kekalahan 3-0 Malaysia kepada pasukan itu di peringkat kumpulan menunjukkan jurang besar antara kedua-dua pasukan.

“Tetapi apa yang lebih mengecewakan ialah kegagalan skuad negara untuk mara ke final, sedangkan mereka diramalkan mampu berbuat demikian.

“Jika mereka mara ke final, mereka ada peluang untuk cuba merebut tempat ke Beijing. Untuk gagal di peringkat kumpulan, sememangnya cukup mengecewakan,” kata Tunku Imran.

BH

No comments: