Monday, 31 March 2008

Sistem rating perlu diperhalusi

Oleh Ahmad Khawari Isa

ADA 'persamaan menarik' di antara majoriti persatuan sukan kebangsaan yang berstatus lima bintang dengan badan induk yang hanya disemat satu atau tiada bintang selepas proses rating oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), baru-baru ini.

Persamaannya? Majoriti persatuan itu, sama ada di puncak ataupun di dasar rating berkenaan, semuanya 'hidup' kerana sumber kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang membiayai keseluruhan program anjuran mereka.

Lantas, apa beza sebenar ‘lima bintang’ ataupun ‘tiada bintang’ jika majoriti persatuan sukan sebenarnya tidak mampu untuk hidup berdikari?


“Saya akui bahawa proses rating itu tidak memberi penekanan kepada sumber kewangan persatuan sukan kebangsaan. Apa yang lebih ditekankan ialah sama ada persatuan sukan mempunyai program dan ianya berjalan dengan baik.

“Jika mereka ada program dan ianya berjalan baik, persatuan akan diberi mata dalam proses rating itu.

“Jika mereka berjaya mendapatkan sumber kewangan sendiri, ada juga mata tambahan diberikan,” akui Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr M Jegathesan, yang diberi tanggungjawab mempengerusikan proses rating itu.

Namun apa yang ketara ialah faktor mampu berdikari dan bukannya terus bergantung kepada mentaliti subsidi - di sebalik kecaman pelbagai pihak terhadap persatuan sukan kebangsaan sebelumnya - diakui kurang diberi penekanan.

Dr Jegathesan bagaimanapun menegaskan MOM bersikap terbuka dalam proses rating itu, dengan cadangan serta maklumbalas daripada semua pihak dialu-alukan untuk memastikan proses itu mampu terus dipertingkatkan.

“Ini adalah kali pertama kami melakukan rating untuk persatuan. Sudah tentu ada kekurangannya. Proses ini juga merangkumi pelbagai aspek lain, termasuk kepimpinan dan pencapaian selain aspek penganjuran program,” katanya.

Pada masa sama, Dr Jegathesan turut berpendapat persatuan sukan tidak wajar dihukum jika ditafsir terlalu bergantung kepada MSN, kerana sistem bantuan sedia ada sudah dibentuk sedemikian rupa.

“Memang bagus untuk kami mengetahui dan menilai tahap kemampuan kewangan untuk persatuan sukan. Tetapi pada masa sama, sistem sedia ada ialah untuk mereka mendapatkan bantuan kewangan menerusi MSN,” katanya.

Seperkara pasti, MOM perlu lebih memperhalusi proses rating berkenaan kerana di sebalik langkah bersemuka dengan semua wakil persatuan sukan kebangsaan, gambaran sebenar tampak tidak terjelma menerusi proses penilaian julung kali itu.

Berita Harian

No comments: