
DUA elemen - berbincang dan merangka strategi secara bersama-sama menentukan hala tuju, termasuk dalam aspek memastikan jenis sukan yang bakal disertai di peringkat antarabangsa, menjadi intipati usaha baru Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menangani masalah persatuan sukan.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi, berkata persatuan sukan di negara ini perlu mempunyai hubungan akrab dengan MOM bagi membolehkan perancangan dan strategi lebih tersusun dapat dirancang.
“Kami mahu semua persatuan sukan tampil untuk sama-sama merangka strategi serta berterus terang mengenai masalah yang dihadapi dalam usaha kita membangunkan sukan dengan lebih menyeluruh.
“Setiap tahun kita mengadakan sidang dan seminar untuk persatuan sukan, namun mereka yang hadir lebih suka mendengar laporan MOM daripada turut sama berbincang, membuat dasar atau memberikan pandangan,” katanya.
Kok Chi berkata, pada tahun ini, persatuan akan menganjurkan seminar tahunan pada pertengahan Jun dan cuba mendapatkan pakar strategi, Profesor Datuk Zakaria Ahmad membentangkan ucap tama.
“Kami harap wakil persatuan yang hadir, tampil lebih aktif bagi melontarkan pandangan dan menyuarakan kehendak mereka kepada MOM bagi memastikan badan induk sukan ini dapat dibantu dengan lebih berkesan atau menyediakan dasar yang terbaik buat mereka.
“Mereka juga boleh menyuarakan apa yang terbuku di hati terhadap sistem rating yang diperkenalkan selain berbincang bentuk bantuan membolehkan persatuan terbabit mendapat bintang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, banyak perkara memerlukan persatuan sukan lebih akrab dengan MOM terutama membabitkan persoalan bentuk penyertaan dan dana berhubung penyertaan dalam pertandingan antarabangsa bukan tradisi.
“Kini selain Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Sea, kita sudah mempunyai Sukan Dalam Dewan dan Sukan Pantai. Selain itu, banyak kejohanan dunia seperti Olimpik Remaja dan Kejohanan Olimpik Belia Australia.
“Oleh itu kita perlu berbincang, sukan mana yang memerlukan bantuan dana untuk membolehkan atlit negara bertanding kerana sebelum ini sukan bukan tradisi diletakkan di bawah Kategori B. Belum ada dasar yang pasti mengenainya,” katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment