Oleh Lukman Salleh, Ahmad Khawari Isa, Harris Rajahdin dan Meor Hisham Zulkifli
Belum lunas RM1 juta kepada MOM kos hantar atlit ke Sukan Asia
TERHAKIS kini tanggapan betapa Majlis Sukan Negara (MSN) 'melimpah' dengan wang buat membiayai program sukan negara kerana realiti terpampang ialah banyak 'hutang' belum dilunaskan kepada persatuan sukan kebangsaan.
Lebih hebat, MSN disahkan masih belum melunaskan bayaran hampir RM1 juta kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk kos penghantaran atlit ke temasya Sukan Asia di Doha, dua tahun lalu.
Perkhabaran itu menjelma selepas Berita Harian Sukan, semalam, mendedahkan MSN masih berhutang sejumlah RM2.5 juta dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk pembayaran dan operasi pengurusan.
Ia mungkin jadi antara sebab elaun ranking BAM kepada pemain tertunggak enam bulan - ketika ada faktor lain turut dikaitkan - yang bagaimanapun tetap kurang enak dan mampu menjejas tumpuan pemain menjelang temasya Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini.
Antara persatuan sukan kebangsaan kini menagih 'hutang' ialah Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) dan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) serta beberapa lagi badan induk dengan nilainya antara ratusan ribu ringgit hingga berjuta ringgit.
"Ya, MSN ada belum menjelaskan bayaran tertunggak untuk pengurusan kepada KOAM," kata Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim, semalam.
"Dalam mesyuarat jawatankuasa kerja bersama KOAM-MSN, perkara ini dibangkitkan dan Ketua Pengarah MSN memaklumkan ia akan dilunas sebaik mendapat sumber kewangan.
"Jumlah tidaklah besar tetapi bagi saya timbul persoalan ke mana pergi sumber kewangan MSN Ini. Jika ia digunakan bagi tujuan-tujuan yang tiada kaitan dengan sukan, saya rasa ia sesuatu yang tidak betul," katanya.
Bendahari MTBC, George Tan mengakui masih ada tuntutan sejak lebih setahun lalu belum dibayar MSN, namun memilih untuk tidak mendedahkan jumlah terhutang itu.
"Ada tuntutan sudah lebih setahun tetapi belum dilunaskan MSN dan kebanyakannya adalah tuntutan menghantar atlit bertanding di luar negara serta penganjuran kejohanan.
"Selain itu, bayaran belum diterima untuk program tunas dan pembangunan tetapi bagi MTBC, apa yang penting memastikan semua program berjalan lancar.
"Kami juga yakin lambat laun, MSN tetap akan membayar balik dana yang sudah dilabur terlebih dulu oleh persatuan," katanya.
Difahamkan, jumlah tuntutan tertunggak ketika ini menghampiri angka RM1 juta.
Naib Presiden Asum, Zainal Othman, turut mengakui ada tunggakan belum dilunaskan oleh MSN, tetapi turut menegaskan jumlahnya tidak begitu besar kerana badan induk itu beruntung kerana hubungan rapat sedia terjalin dengan MSN.
"Tunggakan itu memang perkara biasa dan apa yang penting persatuan perlu memastikan segala laporan diperlukan MSN dihantar ketika mengemukakan tuntutan bagi membolehkan proses berkaitan dengannya dipercepatkan.
"Ia tidak mendatangkan masalah besar kerana kami hanya menghantar atlit keluar negara andai mendapat kelulusan MSN. Bagi elaun pula, setakat ini kami tidak mendengar sebarang rungutan daripada atlit," katanya.
Angka tertunggak dengan SRAM pula difahamkan hampir mencecah RM1 juta.
No comments:
Post a Comment