Monday, 17 March 2008

Jangan cetus salah faham: Ho


Datuk Ho Koh Chye

Chef-de-Mission tak rela lihat percanggahan dalam misi besar ke Olimpik Beijing

TIADA jurang akan dibenarkan menjelma dengan Majlis Sukan Negara (MSN) ketika Chef-de-Mission negara, Datuk Ho Koh Chye, menuntut kerjasama semua pihak buat menyiapkan cabaran terbaik ke temasya Sukan Olimpik di Beijing, Ogos nanti.

Sambil menyifatkan cabaran ke Beijing kali ini selaku misi berpasukan, Koh Chye percaya hubungan baik dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong akan memastikan tiada salah faham akan berlaku.


"Bagi saya, hubungan sedia ada ketika ini amat baik. Malah saya hargai dan akui pentingnya peranan yang dimainkan MSN dalam menyiapkan atlit negara ke Sukan Olimpik nanti.

"Malah peranan ISN (Institut Sukan Negara) yang diterajui Datuk Dr Ramlan (Aziz) juga penting. Saya jemput mereka ke mesyuarat dan kedua-duanya hadir. Itu petanda yang amat positif," katanya.

Persoalan itu ditimbulkan selepas sebelumnya terdengar 'rungutan' Chef-de-Mission negara ke Sukan Sea Korat, Disember lalu � Datuk Zainal Abidin Ahmad � yang menyifatkan dirinya seperti dipinggirkan MSN.

Zainal sebelumnya mendakwa terkilan dengan sikap MSN yang tidak mempeduli dan menghormatinya selaku Chef-de-Mission � perasaan yang didakwanya dirasai sejak dilantik mengisi jawatan itu lagi.

Turut ditimbulkan ketika itu ialah dakwaan usaha mengatur temu janji dengan Ketua Pengarah MSN itu tidak dilayan � sesuatu yang bingkas dinafikan Zolkples.

Selain itu, jaminan dan keyakinan Koh Chye juga penting selepas berlaku � buat julung kalinya � tindakan MSN untuk, secara terbuka, mempertikaikan keputusan MOM.

Ianya berlaku dalam kes membabitkan bekas gimnas negara, Ng Shu Wai, yang akhirnya tetap dihantar MOM mengikuti kursus kejurulatihan di Hungary biarpun selepas ditentang hebat MSN.

Insiden itu turut diakui Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar sebagai sesuatu yang 'luar biasa' tetapi bingkas menegaskan betapa kekuatan hubungan sedia terjalin tidak akan terjejas kerananya.

"Saya pentingkan semangat dan kerjasama berpasukan. Saya sendiri tidak akan mampu melakukan semuanya. Kerana itu, peranan penting MSN, ISN dan semua pengurus pasukan yang dilantik untuk menjaga atlit masing-masing amat penting.

"Saya juga tekankan kepada persatuan sukan supaya melantik pengurus yang diyakini akan melakukan tanggungjawab dan tugas dengan sebaik mungkin.

"Kita mahu supaya atlit negara berada dalam keadaan terbaik, fokus kepada cabaran yang mahu mereka pikul, tanpa perlu bimbang dengan segala masalah lainnya ketika di Beijing nanti," katanya.

Berita Harian

No comments: