Monday, 17 March 2008

MOM harap tsunami politik tak merebak

Oleh Meor Hisham Zulkifli

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaa�far

Minta semua pihak utamakan soal prinsip

TEMPIAS Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan lima negeri ditawan parti pembangkang diharap tidak akan menjejaskan segala program pembangunan sukan, terutama membabitkan persatuan bola sepak yang sebelum ini diterajui menteri besar dan ketua menteri.

Harapan itu disuarakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaa'far yang dengan tegas menyatakan 'gelombang politik' parti-parti tertentu, tidak boleh menjadi sebab untuk mengorbankan pembangunan sukan.

"Pada dasarnya, MOM hanya terbabit dengan persatuan sukan bukannya dengan kerajaan namun disebabkan ada persatuan yang diterajui menteri besar dan ketua menteri, kita harap tidak akan ada perubahan yang buruk berlaku dan sukan tidak terkorban.


"MOM berharap semua pihak mengutamakan prinsip sukan tidak boleh dipolitikkan kerana sukan sebenarnya untuk kecergasan semua selain mengharumkan nama negara. Setakat ini, kami belum nampak sukan akan terjejas dengan peralihan kerajaan," katanya kepada Harian Sukan di Wisma MOM, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, mengakui wujud kebimbangan berlaku perubahan tidak sihat membabitkan tiga pasukan teratas Liga Super - Kedah, Selangor dan Perak, selain nasib pasukan Pulau Pinang.

Kebimbangan itu disuarakan kerana tidak mahu melihat nasib sama menimpa bola sepak Kelantan yang terumbang ambing selepas negeri itu diterajui parti pembangkang. Lebih menggusarkan, Perak dan Selangor mempunyai peraturan yang mensyaratkan menteri besar menerajui persatuan bola sepak negeri terbabit.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Selangor diterajui bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohd Khir Toyo dan Kedah dipimpin, bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahadzir Khalid. Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang pula diterajui bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Tunku Imran berkata, MOM sentiasa memegang prinsip kesukanan yang tidak mencampur adukkan politik dengan pembangunan sukan dan mahu supaya semua pihak turut mempunyai pandangan sama berkaitan perkara ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata sejak sekian lama MOM mahu memastikan persatuan sukan dapat berdikari dan mencari sumber kewangan sendiri bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.

"Kita sudah katakan sejak dari dulu semua persatuan sukan perlu berdikari dan tidak bergantung kepada kerajaan dalam mengembangkan program masing-masing kerana tidak mahu politik kepartian menguasai sukan.

"Namun kini kita hanya dapat tunggu dan lihat perkembangan selepas ini dan apa yang pasti ia diharapkan tidak akan menjejaskan segala usaha dan program sukan yang sudah dan sedang berjalan," katanya.


No comments: